rap

Yang tercalon Farhan Asri, tapi muka orang lain

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Farhan Asri mengakui tidak ambil hati apabila wajahnya tidak dipaparkan di skrin ketika memperkenalkan calon-calon Top 20 kategori Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH ke-33 (ABPBH 33), kelmarin.

Farhan beranggapan mungkin terdapat kesilapan teknikal sehingga wajahnya tertukar dengan individu lain.

"Saya tidak kecewa atau ambil hati pun. Saya anggap mungkin ada masalah teknikal yang berlaku sehingga wajah saya tertukar dengan individu lain di skrin. 

"Diakui banyak menerima mesej peribadi daripada peminat yang bertanyakan mengenai perkara ini. Namun tiada apa yang mampu saya katakan. Saya okey saja. 

"Saya hanya ingin berterima kasih kepada peminat yang sudah mengundi. Tercalon Top 20 dalam kategori ini pun ibarat hadiah bermakna untuk saya sepanjang tiga tahun bergiat aktif dalam dunia lakonan," katanya. 

Terdahulu individu dikenali sebagai Wafiy Rosli mendedahkan di Twitter wajahnya tersenarai sebagai Artis Baharu Lelaki Popular meskipun dia bukan pelakon. 

Menurut Farhan, meskipun kemenangan tidak berpihak kepadanya namun dia berasa teruja dan bangga apabila ABPBH 33 mencalonkan namanya untuk kategori terbabit. 

"Tuhan sebaik-baik perancang.  Allah menyusun hidup manusia dengan aturan yang cukup sempurna dan terbaik. 

"Saya percaya belum tiba rezeki untuk menang sebarang anugerah. Namun saya bersyukur ABPBH 33 melihat bakat seni seperti saya yang masih baru ini. 

"Bukan sebuah trofi yang saya kejar ketika ini, tapi saya optimis untuk terus aktif berlakon supaya saya dapat berkongsi bakat lakonan yang dimiliki ini. Semoga kehadiran saya ini akan terus diterima baik," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Farhan bakal muncul dalam drama bersiri Menantu Tok Sintok selain sibuk menjalani penggambaran drama Baby Tak Gila. 

Disiarkan pada: November 15, 2020 @ 9:43am
d