rap

Pengganti Siti satu kejutan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Selepas penyanyi, Misha Omar mengesahkan bukan penyanyi gantian bagi menyanyikan lagu Aku Bidadari Syurgamu pada separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35), timbul khabar angin mengatakan ia bakal disampaikan komposer lagu itu sendiri yang juga penyanyi, Ippo Hafiz.

Namun, Ippo ketika dihubungi menafikan perkara itu dan menyatakan penyanyi yang bakal menggantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah kejutan buat semua.

"Penyanyi gantian sudah ada, tapi saya tak dapat dedahkan. Apa yang pasti, dia sangat teruja dan berbesar hati ketika ditawarkan untuk menyampaikan lagu ini pada separuh akhir Muzik Muzik 35 nanti.

"Saya harap, semua penonton dan peminat lagu ini akan gembira dengan kejutan ini," katanya kepada Harian Metro. 

Ippo berkata, pemilihan penyanyi itu juga adalah berdasarkan perbincangan semua pihak. 

"Keputusan dibuat berdasarkan persetujuan semua yang terbabit dan kami sememangnya yakin, vokal penyanyi ini mampu membawakan lagu ini dengan baik dan tidak hilang nilai sentimentalnya," katanya. 

Dalam masa sama, Ippo menjelaskan penyanyi gantian itu bukan dalam kalangan penyanyi yang bertanding pada SFMM 35.

Terdahulu, timbul beberapa nama yang berkemungkinan besar bakal menyampaikan lagu itu antaranya Liza Hanim dan Misha Omar.

Lagu Aku Bidadari Syurgamu akan bertanding pada 21 November ini di samping satu lagi lagu yang dipopularkan Siti iaitu 7 Nasihat.

Disiarkan pada: November 16, 2020 @ 8:28pm
d