rap

Emma Maembong bersalin normal

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Saya dimasukkan ke hospital sehari sebelum bersalin selepas beberapa kali mengalami kontraksi dan tidak dapat menahan kesakitan," kata pelakon popular Emma Maembong yang selamat melahirkan bayi lelaki di pusat perubatan di Shah Alam pada 8 November lalu jam 2.38 pagi.

Emma ketika dihubungi berkata, bayi itu dilahirkan secara normal dengan berat 3.2 kilogram. 

"Alhamdulillah proses kelahiran berjalan dengan selamat dan lancar," katanya.

Emma berkata, selepas mengalami kontraksi, doktor menyarankan dia ditahan di hospital kerana mahu memantau degupan jantung bayi.

"Ketika membuat pemeriksaan doktor memaklumkan 'jalan untuk bersalin' sudah terbuka satu sentimeter pada jam 4 petang dan akhirnya putera sulung saya selamat dilahirkan secara normal keesokannya," katanya. 

Menurut Emma, dia bersyukur suaminya, Muhammad Shazli Azhar sentiasa berada di sisi dan banyak memberikan kata-kata semangat. 

"Alhamdulillah suami saya banyak memberi semangat dan ada di sisi saya sepanjang waktu. Saya kini menjalani tempoh berpantang di rumah dengan dibantu seorang pekerja dari pusat penjagaan yang menawarkan perkhidmatan berpantang untuk membantu saya yang baru bersalin serta merawat bayi. 

"Setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik.  Saya dan anak dijaga dengan rapi apabila saya tidak perlu risau soal makan, urutan atau apa saja perkara yang boleh dan tidak selepas bersalin. 

Pasangan ini melangsungkan pernikahan pada 20 Februari lalu.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 2:37pm
d