rap

Kool FM Talk Radio Berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Walaupun menerima persaingan hebat dari stesen radio berbahasa Malaysia lain,  Kool FM membuktikan keampuhannya apabila diiktiraf sebagai 'Talk Radio' berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia.

Kejayaan terbabit susulan peningkatan peratusan jumlah pendengar mingguan sebanyak 92 peratus berbanding sebelum ini melalui kajian terbaharu GfK Radio Audience Measurement Survey (RAM) dengan jumlah pendengar mingguan Kool FM kepada 701,000.

Lebih mengujakan, jumlah pendengar mingguan Kool FM yang berusia 25 tahun juga memperlihatkan penambahan sebanyak 231,000 atau 104 peratus. Ini menjadikan jumlah keseluruhan pendengar mingguan berusia 25 tahun ke atas adalah sebanyak 454,000.

Ketua Audiens Melayu Kool FM, Shah Hayatudin berkata, pengiktirafan Kool FM sebagai 'Talk Radio' berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia membuktikan perubahan yang dibawakan terutama membabitkan kandungan dan format menerima maklum balas yang positif.

"Pihak kami teruja melihat penerimaan pendengar terhadap perubahan yang dibawa oleh Kool FM terutama sekali dari segi kandungan dan format yang diaplikasikan pada tahun ini. 

"Melalui cara ini kami dapat menghargai dan mendengar suara pendengar dengan menyediakan platform untuk berdebat dan berdiskusi mengenai isu semasa dan masalah yang dihadapi oleh masyarakat," katanya.

Menurut Shah, selain bersiaran secara langsung, Kool FM sentiasa tampil dengan pelbagai idea untuk menarik perhatian masyarakat.

"Kool FM juga bersiaran secara langsung di pelbagai platform lain antaranya YouTube Kool TV, aplikasi di telefon, MyTV dan yang terbaru menerusi JOOX. 

"Dengan platform yang ada ini mampu untuk memudahkan para pendengar untuk mendengar Kool FM tidak kira di mana saja mereka berada. 

"Kami berharap untuk menarik lebih ramai lagi pendengar dengan kandungan yang dibawa dan dapat bersama-sama mengembangkan konsep Talk Radio dengan lebih kuat dan diterima masyarakat. Selain itu, terima kasih kerana menjadikan Kool FM Talk Radio berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia," katanya.

Selepas hampir 11 bulan ke udara dengan konsep baharu, Kool FM yang tampil dengan tagline Suara Semasa kini menjadi radio pilihan pertama untuk isu semasa.

Malah, pemilihan tajuk perbincangan dan tetamu bagi segmen temu bual juga adalah bertepatan dengan sasaran usia pendengar dan keadaan semasa yang berlaku dalam atau luar negara. 

Ini bertujuan untuk membolehkan maklumat dan info-info terkini dapat disampaikan dan diperjelaskan kepada pendengar.

Kool FM diterajui oleh trio AG, Haiza & Muaz menerusi segmen pagi dengan mengetengahkan isu semasa nasional dan dunia merangkumi topik polisi, teknologi, sukan, gaya hidup, kesihatan serta isu-isu komuniti bermula Isnin hingga Jumaat, 6 pagi hingga 10 pagi. 

Meneruskan pengisian gaya hidup, isu viral, motivasi serta hiburan, Kool FM Rea akan menemani pendengar bermula 10 pagi hingga 3 petang. 

Segmen kendalian Kool FM Izwan Azir bermula jam 3 petang hingga 7 malam akan membincangkan isu nasional, dunia, keusahawanan, sukan dan hiburan dengan gaya yang lebih santai serta bersahaja. 

Sementara itu, bermula jam 7 hingga 8 malam, pendengar boleh merehatkan minda dengan tazkirah Maghrib daripada ustaz jemputan menerusi Refleksi Kool dan diikuti seleksi lagu-lagu terbaik era 60an, 70an, 80an, 90an hingga terkini akan dimainkan bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 5:47pm
d