rap

'Saya pelakon serba-boleh''  Zainol MacWilson

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pelakon Zainol MacWilson, 62, menolak dakwaan segelintir warganet yang mengatakan lakonannya statik dan tidak berubah dari dahulu sehingga sekarang.

Zainol berkata, mereka bebas bercakap apa sahaja sama ada positif atau sebaliknya tanpa sekatan.

"Kadang-kadang warganet hanya komen ikut suka. Saya tak lemah semangat atau ambil peduli kerana bukan mereka yang bayar gaji saya. Sebagai pelakon memang kita perlu jadi serba-boleh dan boleh bawa semua watak sama ada baik atau jahat.

"Saya nak tanya semula mereka yang berkata demikian. Saya mula berlakon filem pertama bawa watak 'mak nyah' pada 1986 dan mungkin mereka belum lahir ketika itu. Jadi, adakah mereka mengikuti perkembangan saya? Mereka kena ingat saya dah berhenti berlakon selama 20 tahun sebelum aktif semula," katanya kepada Harian Metro.

Ahad lalu, Harian Metro melaporkan keluhan Zainol yang namanya kena 'reject' daripada membintangi sebuah projek drama bersiri arahan Yusry Abdul Halim.

Ia mencetuskan polemik dalam kalangan warganet yang menganggap lakonannya yang statik sebagai punca kegagalan berlakon drama yang akan disiarkan menerusi sebuah saluran penstriman tempatan.

Zainol berkata, pasaran industri seni lakon tanah air yang terhad membuatkan dia tidak berpeluang membawakan pelbagai watak.

"Saya setuju dengan kenyataan yang pernah dikeluarkan oleh Faizal Hussein sebelum ini. Katanya, apabila mencecahusia 40-an ke atas, kita tiada pilihan kerana penerbit akan bagi watak yang sama. Balik-balik jadi ayah. Saya teringin juga berlakon watak hero, tapi di Malaysia kalau hero mesti seorang yang hensem, muda, macho dan sado," katanya.

Situasi ini agak berbeza pada era terdahulu seperti pada tahun 1960-an yang lebih mengutamakan bakat.

 "Apakah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seorang yang sado? Saya pernah dua kali berlakon sebagai inspektor polis dan doktor. Selain itu saya juga pernah bawa watak lumpuh dan hanya berada atas kerusi roda. Mana yang dikatakan lakonan saya tiada perubahan? Saya cabar kalau ada pelakon lelaki boleh menangis dengan spontan. Saya boleh melakukan perkara ini," katanya. 

Zainol berharap agar produksi membukakan peluang untuknya berlakon watak lelaki gila, bodoh dan sebagainya.

"Dulu saya pernah berlakon sebagai orang minyak dalam drama arahan Majed Salleh tapi sayangnya tak ditayangkan di televisyen pula. Saya pernah berlakon drama guna loghat utara. Kalau bagi pada pelakon lain contohnya Datuk Aaron Aziz, adakah dia boleh buat?

"Kadang-kadang produksi tengok nama saya ada bunyi Mat Salih dan risau saya tak sesuai bawa watak kampung. Ada juga yang tahu saya dari utara. Mereka bimbang saya tak boleh bercakap bahasa Melayu yang betul jika dipanggil berlakon," katanya yang kini berada di Perlis.

Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 6:45pm
d