rap

Bate mula 'langgar'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEJAK melancarkan lagu sulung One I Love pada 2018, DJ duo tempatan, Wai Hong dan Ethan Curzon yang dikenali sebagai BATE berjaya mengukir nama di arena muzik antarabangsa.

Lagu hasil kerjasama dengan penyanyi rap Amerika Syarikat iaitu Radio3000 dan penyanyi Australia, Blake Rose itu sudah dimainkan lebih 15 juta kali di aplikasi muzik Spotify sejak dilancarkan.

Selepas dua tahun tanpa karya terbaharu, pada Februari lalu BATE melancarkan single kedua mereka berjudul Casino Royale iaitu sebuah karya kerjasama dengan penyanyi Simon Webbe dari kumpulan ikonik United Kingdom (UK), Blue.

Lagu yang mendapat sambutan hangat peminat itu dimainkan lebih lima juta kali di Spotify, manakala video muzik rasmi pula telah mencapai lebih 700,000 tontonan.

Selain daripada karya asal, DJ duo ini turut aktif mengeluarkan karya adunan semula (remix) untuk beberapa lagu tempatan dan antarabangsa seperti Can't Forget Me nyanyian Fazura, Sunrise In The East nyanyian UK Becky Hill dan terbaharu, Passcode nyanyian Jannine Weigel iaitu penyanyi Thai-Jerman.

Kini, duo ini bakal melancarkan single ketiga berjudul Langgar. Menerusi lagu itu buat pertama kalinya BATE bekerjasama dengan penyanyi rap tempatan seperti Caprice, Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto.

Mengulas mengenai lagu ini, Wai Hong dari BATE berkata, Langgar adalah lagu berbahasa Melayu pertama mereka dan paling 'catchy' pernah dirakamkan.

"Ini adalah lagu Melayu pertama kami. Ia juga antara lagu yang paling 'catchy' yang pernah dirakam setakat ini jika dibandingkan dengan single lain sebelum ini. Malah, bekerja dengan artis hebat tanah air satu pengalaman yang luar biasa buat kami," katanya.

Sementara itu, Carlolitto berkata, dia bertuah kerana dapat bekerjasama dengan individu yang dapat merealisasikan impiannya selama ini.

"Saya bertuah kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang membuat saya selesa untuk meluahkan perasaan saya melalui lagu ini. Saya sering mengimpikan kerjasama seperti ini. Walaupun pada awalnya kedengaran mustahil, saya percaya pada impian saya dan mengatur langkah ke arah itu sehingga ia menjadi kenyataan.

"Sebagaimana maksud lagu ini, pentingnya untuk anda memulakan langkah pertama untuk mendapatkan apa saja yang anda mahukan dan terus berjuang walau apa pun cabaran yang dihadapi," katanya.

Bagi Shou Raion pula, Langgar dianggap berbeza dengan karya sebelum ini.

"Dalam proses pembikinan lagu ini, saya sebagai artis baru diberi peluang dan kepercayaan untuk bekerjasama sebaris dengan artis hebat di dalam industri seperti Caprice, Zynakal, Carlo dan BATE.

"Malah, dalam percubaan saya menulis untuk lagu yang berkonsep seperti Langgar ini, saya 'melanggar' prinsip sendiri dalam penulisan sesebuah lagu. Namun, pada saya tak salah nak mencuba. Jadi ayuh kita raikan perbezaan dan jangan lupa untuk dengar lagu ini," katanya.

Dalam masa sama, Zynakal pula berharap lagu itu memberi inspirasi kepada peminat muzik tempatan.

"Mimpi tanpa matlamat hanya impian. Saya harap lagu ini dapat mengingatkan pendengar bahawa tanpa usaha yang berterusan, impian mereka tak ke mana. Tempuhilah apa saja rintangan untuk sampai ke tempat yang hendak dituju. Itulah yang cuba disampaikan dalam lagu ini," katanya.

Langgar adalah ciptaan bersama Wai Hong, Ethan Curzon, Caprice, Zynakal, Shou Raion dan Carlolitto. Lagu ini turut mendapat sentuhan penerbit tersohor Bryan B yang bertindak sebagai penerbit rakaman bersama BATE.

Single terbitan bersama Universal Music Malaysia dan Lion Music Group ini boleh didapati semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 13 November lalu.

Disiarkan pada: November 19, 2020 @ 6:30am
d