rap

Ayda Jebat hadiahkan ibu rumah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi popular Ayda Jebat menghadiahkan sebuah rumah teres dua tingkat di Puncak Alam, Selangor kepada ibunya, Rohana Mohamed. 

Ayda berkata, hadiah istimewa yang diberikan kepada ibunya adalah salah satu impian yang ingin dicapai sebelum menamatkan zaman bujangnya dengan pengacara Nabil Mahir tahun depan. 

"Syukur alhamdulillah. Allah makbulkan doa saya. Rezeki dapat hadiahkan mama sebuah rumah. Saya beritahu Nabil, ada benda saya kena capai sebelum saya kahwin. Inilah antaranya. Buat mama saya bahagia, sebelum saya bahagiakan orang lain. Lega hati ini Ya Allah," katanya dalam satu hantaran terbaharu di Instagram.

Menurut Ayda, dia berharap dan mendoakan supaya semua orang dapat membahagiakan orang tua masing-masing selagi mereka masih bernyawa.

"Saya doakan semua dapat bahagiakan orang tua anda bukan saja dari harta benda, malah banyak benda lain anda boleh berbakti untuk mereka. Semoga tercapai. Insya-Allah.

"Mama selalu hubungi dan pesan 'Kakak jangan kerja kuat sangat, kena rehat jugak.' Sebenarnya, kerja keras saya tak sekuat pengorbanan mama jaga saya dan adik-adik. Saya cintakan mama. Saya akan selalu menjaga dan membahagiakan mama, walaupun saya dah kahwin nanti," katanya.

Disiarkan pada: November 20, 2020 @ 6:15pm
d