rap

Manfaat geran dkd

Oleh Sudirman Mohd Tahir

BERSEMPENA sambutan ulang tahun ke-20 dalam industri nasyid, kumpulan nasyid popular, Inteam bakal mengadakan konsert secara virtual atau dalam talian pada 12 Disember depan.

Konsert bertemakan Terima Kasih itu mendapat sokongan dana melalui Geran Dana Kandungan Digital (DKD) RM300,000 yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Inteam yang dianggotai Muhammad Hazamin Harun, Mohd Syahril Abdul Khalid, Hisyam Ahmad dan Abdul Rahim Osman bakal menyampaikan 25 lagu termasuk lagu duet bersama penyanyi jemputan. Antaranya, kumpulan Exists, Khai Bahar, Lah Ahmad, Hijjaz, UNIC dan Zayne.

Pengarah konsert, Muhammad Hazamin berkata, walaupun konsert itu dirancang dibuat secara dalam talian, mereka turut membuat persediaan untuk membawa 100 penonton iaitu pembeli tiket RM200 hadir menyaksikan konsert itu sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan.

Menurut Muhammad Hazamin, konsert yang bakal diadakan di Warisan Hall Studio itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Konsert ini secara majoritinya akan ditonton secara dalam talian dan kami hanya menyediakan 100 tempat duduk saja untuk hadir ke konsert ini sekiranya PKPB ditamatkan. Malah, ia masih mengikut SOP. Namun, sekiranya PKPB akan diteruskan, konsert in akan menjadi konsert dalam talian sepenuhnya.

"Tapi, kalau boleh harapannya nak ada penonton. Bukan apa, 'feel' membuat persembahan dengan disaksikan penonton itu lebih menarik. Apatah lagi jika mereka dapat menyanyi bersama. Apa pun, semuanya kena tunggu dan lihat.

"Macam sekarang, sudah ramai yang membeli tiket RM200. Tapi, sekiranya konsert ini dibuat secara dalam talian sepenuhnya, kami akan memulangan RM100. Kiranya, mereka akan sama saja dengan pembeli tiket lain. Apa yang membezakan adalah kepelbagaian cenderahati yang diberikan," katanya.

Konsert yang bakal berlangsung selama dua jam 30 minit itu dibahagikan kepada empat segmen iaitu Cinta Manusia, Cinta Rasul, Cinta Allah dan Cinta Hit Song. Persembahan bersama penyanyi jemputan dibuat pada segmen Cinta Hit Song.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Muhammad Hazamin berkata, ia diputuskan bersama pihak KKMM.

"Barisan artis jemputan ini kami berbincang bersama pihak KKMM yang mana menggabungkan artis nasyid dan arus perdana. Kalau boleh nak membabitkan ramai lagi artis nasyid, tapi sudah ramai yang tidak ada kumpulan.

"Dalam masa sama, secara tidak langsung penganjuran konsert ini memberi peluang kepada penggiat seni muzik tanah air untuk menjana pendapatan. Kami mahu berkongsi rezeki kepada mereka yang kita tahu ramai terjejas ekoran penularan wabak Covid-19 ini.

"Insya Allah, kami akan berduet satu lagu dengan Khai selain dia akan menyanyikan lagu solo. Kami juga akan berduet dengan Exists dengan menyanyikan lagu mereka. Macam Lah pula, kami memilih lagu bahasa Inggreris," katanya.

Muhammad Hazamin berkata, bagi menghebahkan lagi penganjuran konsert itu sekali gus menarik minat peminat mereka di luar negara, Inteam akan mengadakan siri jelajah secara dalam talian di aplikasi Zoom pada 27 sehingga 29 November ini.

"Alhamdulillah, setakat ini peminat kami di Singapura, Indonesia dan beberapa negara lagi sudah ada yang membeli tiket. Cuma, kami mahu lebih ramai yang terbabit menyaksikan konsert ini nanti.

"Jadi, kami buat siri jelajah dalam talian. Tidak dapat berjumpa empat mata, berhubung dalam talian pun sudah memadai. Apa yang penting, kami mahu mereka yang berada di luar negara dapat bersama-sama kami pada konsert ini.

"Bagi peminat luar negara tiket dijual pada harga AS10. Kami berharap konsert ini boleh menjadi konsert 'world wide' yang disaksikan dari pelbagai negara," katanya.

Tiket konsert berharga RM10, RM25, RM50, RM100 dan RM200

yang boleh didapati melalui laman web.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 6:30am
d