rap

Rai bukan kritik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KEJAYAAN filem Mael Totey The Movie (MTTM) yang mendapat kutipan RM6.4 juta selepas 24 hari di tayangkan di Astro First membuka mata ramai pihak terutama dalam kalangan pembikin filem tempatan.

Ada yang menyambut baik, malah tidak kurang juga timbul cakap-cakap yang seolah-olah memperkecilkan kejayaan filem yang hanya menelan belanja RM400,000 itu.

Dari satu sudut lain, ramai melihat industri perfilem tempatan yang sebelum ini suram disebabkan pelaksaan prosedur operasi standard (SOP) dan penutupan panggung wayang sehingga memberi kesan kepada kutipan filem kini kembali ada harapan.

Bagi Syamsul Yusof yang juga pengarah filem hebat, kejayaan diraih filem MTTM dan pengarahnya, Syahmi Sazli perlu diraikan dan bukan dikritik.

"Saya tak setuju kalau ada pengkarya filem lain yang merendahkan hasil karya MTTM. Pengkarya dan penonton perlu faham setiap filem yang keluar di pasaran ada cara dan gaya tersendiri dari segi penyampaiannya.

"Kiranya, kalau kita tak suka karya itu, tak bermakna semua orang tak suka. Sebab macam saya katakan, MTTM dan Syahmi ada peminat tersendiri. Jadi, sebagai orang filem yang ada pengalaman dalam bidang ini perlu menyokong Syahmi dan siapa saja pengarah muda yang berani membawa karya mereka ke layar perak atau Astro First," katanya.

Syamsul yang mengarahkan filem berbajet besar seperti KL Gangster dan Munafik berkata, dalam kejayaan sesebuah filem soal standard dan bajet filem itu perlu ditolak tepi.

Lebih penting, pengkarya perlu melihat konsep, genre dan mesej filem yang disampaikan itu sehingga mampu menarik perhatian penonton.

"Ketepikan standard dan bajet filem itu. Apa yang penting, sekiranya ada penonton, bermakna ada permintaan. Teruskan berkarya. Kita sokong sesama sendiri. Tambahan pula Syahmi dan pasukan adalah anak Melayu yang cuba nak berdiri. Jadi kita kena sokong.

"Pada saya, perkara ini setiap orang ada impian masing-masing. Walaupun kita tidak bersetuju dengan cara dia, tapi bagi saya seni itu luas. Jadi, filem MTTM ini pun ada seninya selain mempunyai penonton dan peminat tersendiri. Jadi, kita perlu bersatu.

"Mudah-mudahan Syahmi dapat belajar sesuatu juga daripada pengalaman pertama mengarahkan filem ini. Saya yakin filem dia akan datang semakin baik dan ada perkembangan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Syamsul baharu muncul dengan single ketuhanan, Satu Kalimah.

Lagu ciptaan Syamsul itu mencecah lebih 770,000 tontonan di YouTube Universal Music Malaysia.

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 6:46am
d