rap

Hael Husaini ganti Nabila Razali?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala lumpur: Keputusan penyanyi, Nabila Razali yang menarik diri daripada menyanyikan lagu Peluang Kedua pada peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) mengejutkan ramai pihak.

Keputusan itu dibuat selepas mendapat nasihat doktor, guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat dan komposer lagu berkenaan, Hael Husaini dan MFMF.

Namun, timbul persoalan siapa pula yang bakal menyanyikan lagu itu?

Di laman sosial, warganet menyebut ramai nama penyanyi yang dirasakan sesuai menyanyikan lagu itu. Tidak kurang juga yang mahukan komposer lagu berkenaan iaitu Hael Husaini untuk menyanyikan sendiri lagu Peluang Kedua.

Di ruangan komen Instagram @myhmrap pengguna akaun @xzmeyll_ yakin Hael bakal menyampaikan lagu itu dengan baik.

"Ganti lah orang lain. Saya yakin kalau Hael atau Haqiem Rusli ganti mesti gempak," katanya.

Seorang lagi pengguna akaun @hakimiqayyim menyifatkan hanya Hael yang layak menggantikan Nabila.

"Hael saja yang layak nyanyikan lagu itu. Hael cipta khas untuk Bella (Nabila). Jadi, apabila Bella tak boleh 'perform' atas sebab kesihatan, biarlah orang yang nak gantikan pun ada aura yang tersendiri. Jadi, Hael saja yang memiliki aura itu," katanya.

Apa pun, siapa sahaja penyanyi yang bakal menyanyikan lagu itu pastinya adalah pilihan terbaik.

Lagu Peluang Kedua dipertandingkan pada SFMM 35 episod ketiga, esok, jam 9 malam di TV3.

 

Disiarkan pada: November 21, 2020 @ 12:18pm
d