rap

'Ini baru kelas' – Aishah

Oleh Syafil Syazwan Jefri 

Kuala Lumpur: "Kami saling hormat-menghormati. Ini buktinya, Tok Ti (Siti) belanja Kak Ecah (Aishah) makanan selepas membuat persembahan diiringi kad ucapan dan rakaman suaranya mengucapkan 'good luck' kepada saya," kata penyanyi, Aishah yang berkongsi gambar dia bersama kek yang dihantar Datuk Seri Siti Nurhaliza di Instagram.

Pemberian kek itu juga sebagai tanda ucapan terima kasih Siti kepada Aishah yang menyanyikan lagunya, Aku Bidadari Syurgamu di saingan Separuh Akhir Muzik Muzik ke-35 (SFMM35), Sabtu lalu.

Menurut penyanyi lagu Janji Manismu itu, sikap itu adalah tanda seseorang yang bersikap profesional.

"Saya sangat terharu dengan sikap yang ditunjukkannya. Itu namanya ada kelas dan memiliki sikap hormat menghormati secara profesional sesama artis," tulisnya.

Semalam, Aishah meluahkan dia kecewa dan sedih dengan sikap segeintir netizen yang sewenang-wenang menghina dan mengkritik tanpa arah selepas dia didakwa gagal menyampaikan lagu itu dengan baik. 

Dalam hantaran yang sama, Aishah juga berkongsi mengenai sikap sesetengah netizen yang suka mengapi-apikan artis semata-mata ingin menimbulkan perbalahan.

"Dari dulu lagi, semasa menyertai Gegar Vaganza 4, saya perasan ada peminat fanatik yang kadang-kadang melakukan perkara yang pelik-pelik. Mereka sanggup memaki hamun artis lain semata-mata mahu menunjukkan sokongan kepada artis kesayangan sedangkan hubungan kami sesama artis okay saja," tulisnya.

Disiarkan pada: November 24, 2020 @ 2:17pm
d