rap

Lagu Cinta Kita 2 tetap bersiaran Ahad ini

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Program realiti Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) minggu ketiga akan tetap bersiaran pada Ahad ini, pukul 9 malam di TV3.

Penerbit Eksekutif LCK2, Muhammad Sufian Che Isa berkata, pihaknya tidak mendapat sebarang arahan berkenaan penundaan program hiburan di TV3 walaupun episod ketiga peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35), Ahad lalu ditunda ekoran seorang peserta iaitu Alif Satar disahkan positif Covid-19.

"Setakat hari ini, LCK 2 pada minggu ini masih lagi bersiaran. Setakat ini juga tidak ada arahan program hiburan ditunda. Cuma, juri tetap iaitu Hael Husaini akan digantikan dengan orang lain kerana dia masih menjalani kuarantin selepas terbabit pada SFMM 35, Jumaat lalu yang turut membabitkan Alif. Juri lain iaitu Mas Idayu dan Ajai ada.

"Kru LCK2 pula memang tidak terbabit dengan SFMM 35. Begitu juga lokasi yang berbeza. Jadi, tidak ada sebarang masalah. Namun, pada minggu ini kita lebih perketatkan peraturan. Sebelum ini sudah ketat, tapi kali ini lebih lagi. Saya sudah mewajibkan semua kru, artis dan pihak yang terbabit pada LCK2 minggu ini untuk menjalani ujian saringan terlebih dahulu," katanya.

Menurut Sufian, penerbitan program itu dipantau Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sejak minggu pertama ia bersiaran.

"Apabila buat rancangan hiburan, masa awal-awal lagi kami sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Tetap akan ada risiko. Disebabkan itu, penting untuk patuh prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan. Macam SOP di studio, semua orang faham. Tapi, kita tidak boleh jangka jangkitan dari luar.

"Jadi saya sentiasa pesan kepada semua supaya berhati-hati kalau di luar yang mana kena ikut SOP. Untuk LCK2 ini, lebih kurang 60 orang terbabit merangkumi kru penerbitan, artis dan lain-lain. LCK2 dipantau oleh MBSA dan mereka akan datang buat pemeriksaan pada setiap minggu.

"Untuk minggu ini, saya minta kepada artis untuk tidak membawa ramai orang. Kalau mereka bawa pegawai perhubungan awam, pengurus, jurusolek dan pereka fesyen atau yang tidak berkenaan, kena duduk dalam bilik saja," katanya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 12:09pm
d