rap

Bapa minta Da'i Syed tinggalkan dunia selebriti

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Bapa kepada pendakwah muda Da'i Syed, Syed Mohammad Shaiful meminta anaknya itu meninggalkan dunia selebriti sekiranya dia benar-benar bersalah.

Ia susulan dakwaan individu di Twitter yang mendakwa rakannya mengalami trauma selepas menjadi mangsa rogol Syed, 25, atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful.

Syed Mohammad Shaiful yang kini berada di Kaherah, Mesir menerusi Facebook berkata, mereka sekeluarga merindui Iqmal (Syed Shah Iqmal) yang dahulu. 

"Jika benar kamu berakhlak buruk seperti yang didakwa atau ditularkan, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup kerana perbuatan itu lebih hina dari iblis. Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah kejalan Allah dan jalan leluhurmu," katanya. 

Portal Harian Metro semalam melaporkan Syed Shah Iqmal yang kesal dengan dakwaan itu membuat laporan di Balai Polis Mutiara Damasara, Petaling Jaya jam 5.45 petang semalam. 

Syed Shah Iqmal berkata, laporan itu dibuat untuk membersihkan nama baiknya, selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan tidak berasas itu.

"Tuduhan itu terlalu berat dan menjatuhkan maruah serta reputasi saya. Saya terkejut dengan tuduhan itu dan menyifatkan ia sebagai fitnah paling buruk yang pernah saya hadapi selama menjadi pendakwah. Saya memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan lanjut kerana dakwaan itu mencemarkan nama baik saya," katanya.

Dalam pada itu, Syed Mohammad Shaiful berkata, sekiranya anaknya itu didapati bersalah, dia memohon Allah mengembalikan anaknya ke jalan yang diredai.

"Segala didikan yang saya beri kepadanya sejak kecil adalah menurut yang agama sarankan dan tindakan untuk menegur serta nasihat kepadanya sudah pun saya usahakan sebaiknya. Namun, tiada upaya lagi apabila semua mesej peribadi saya diabaikan hampir dua tahun tanpa jawapan sepatah pun.

"Saya serahkan urusan menegur ini kepada Allah SWT untuk mengadilinya. Sekiranya benar dakwaan yang ditularkan, saya mohon Allah kembalikan anak saya ke jalan yang benar dan diredai," tulisnya di Facebook.

Menurut Syed Mohammad Shaiful, dia mengakui isu yang baru tular itu sudah lama diketahui, namun tidak menyangka sehingga ahli keluarga turut terkena tempias.

Katanya, dia turut memohon kepada mangsa supaya membuat laporan polis dan sekiranya didapati bersalah, dia tidak akan mempertahankan anaknya itu.

"Isu tular ini sudah lama, hari ini makin heboh pula. Kami sudah letih nak hadap isu seperti ini, apatah lagi adik-adiknya yang masih belajar dan mereka tertekan dengan soalan-soalan sindiran dan ejekan daripada rakan di sekolah.

"Bagi mereka-mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya. Saya memberi jaminan, saya tidak akan sama sekali mempertahankan atau menyebelahi anak saya sekiranya dia memang melakukan kesalahan tersebut," tulisnya.

Disiarkan pada: November 25, 2020 @ 2:43pm
d