rap

Kami nak hak kami!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penggiat seni tanah air bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap empat badan yang dipercayai terbabit dalam proses kutipan royalti iaitu PPM, RPM, MACP dan PRISM, semalam.

Siasatan dijalankan berikutan maklumat daripada Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkenaan isu penyalahgunaan dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu yang diterima daripada pengusaha industri di Malaysia bagi tujuan 'public performance' yang mana royalti dikutip ini tidak disalurkan kepada artis dan pencipta lagu.

Penyanyi kumpulan legenda Blues Gang, Ito Mohd berkata, tindakan SPRM tepat pada masanya kerana isu ini sudah lama tergantung.

"Dulu mungkin ia tak diambil kisah sangat tapi sekarang lain kerana semua orang nak pakai duit sebab tak dapat bekerja macam dulu. Ramai melihat sekarang masa sesuai untuk dikeluarkan royalti dan ini punca perkara ini jadi bualan hangat.

"Kalau Karyawan tak buat, nak harapkan siapa lagi. Datuk Shila Majid (Pengerusi RPM) senyap sahaja, manakala PRISM pun dah ditutup. Ke mana lagi nak diharapkan?" katanya kepada Harian Metro.

Ito yang popular menerusi lagu Apo Nak Dikato bersama Blues Gang berharap siasatan yang dibuat SPRM akan cepat selesai dan membawa khabar baik buat penggiat seni.

Pemain bass kumpulan Gersang, Man Greng mengharapkan SPRM membawa khabar gembira buat penggiat seni muzik tanah air yang sudah lama menanti hak mereka.

"Saya minta tolong kerana dah lama sangat kami tunggu. Datuk Freddie sudah berjumpa menteri dan diberitahu peruntukan sudah dikeluarkan dan diambil. Tapi kami tak tahu siapa yang ambil. Ini punca SPRM turun padang untuk siasat. Saya difahamkan jumlahnya ialah RM25 juta.

"Jumlah ini banyak dan ramai sedia maklum kita tengah susah sekarang. Jadi, empat badan ini kena buat kerja. Keluarkanlah duit ini untuk bantu kami yang memerlukan," katanya. 

Menurut Man, jika terbukti adanya penyelewengan atau penipuan, ia memang perkara menyedihkan.

"Saya terpaksa tutup studio latihan kerana tak mampu bertahan dan terpaksa berniaga pelbagai produk secara dalam talian. Memang terasa amat susah dan ini yang paling sukar kita hadapi. Tiada tawaran kerja langsung. Saya buat penganjuran acara dan studio untuk latihan.

Kami pernah mengadu kepada pihak tertentu tapi hanya setakat dapat beras. Sedangkan kami sebenarnya perlukan duit untuk belanja," katanya.

Sementara itu, penyanyi Zaiton Sameon juga bersetuju dengan tindakan dilakukan Freddie kerana memerlukan royalti sebagai penyambung hidup pada masa sekarang.

"Itu hak saya dan sudah tentu saya amat memerlukannya," katanya. 

Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 9:31pm
d