rap

Evolusi karya yung raja

Oleh Georgie Joseph

SELEPAS lagu The Dance Song menerima hampir sejuta tontonan di YouTube, penyanyi Yung Raja tular pula dengan video versi berbeza lagu itu yang dipersembahkan dalam bentuk tarian tradisional Malaysia dan penerimaannya nyata luar biasa.

Berdurasi tiga minit, ia memaparkan persembahan tarian tradisional yang cukup memukau daripada penari-penari pelbagai latar belakang menggunakan melodi rancak lagu terbabit. Ia termasuk tarian zapin Melayu, tarian kipas Cina dan Bharatha Natyam India.

Teruja dengan sambutan itu, Yung Raja atau nama sebenarnya Rajid Ahamed, 25, tidak menafikan lagu itu antara karya paling bermakna buatnya. Baginya, lagu itu menjadi penanda aras baharu untuk evolusi karya seninya.

"Ini adalah karya seni saya ketiga dan yang terbesar. Baik penggunaan bahasa atau ritma lagu itu sendiri, The Dance Song adalah karya paling unik setakat ini yang tidak pernah saya sajikan lagi.

"Sama ada dalam bahasa Inggeris atau Tamil, mesej dalam setiap baris mudah difahami. Setiap baris rap mengandungi elemen lucu dan sudah pastinya daya penarik yang ada pada diri saya," katanya.

Mengambil inspirasi dan pengaruh daripada penyanyi rap popular Lil Wayne, keunikan utama dalam The Dance Song adalah penyampaian 'bar' ke 'bar' paling pantas pernah digarap Yung Raja dalam karyanya.

Hakikatnya, segelintir pendengar menyamakan kelajuan rapnya setanding Busta Rhymes, Logic, Twista ataupun tidak keterlaluan boleh dikatakan setanding penyanyi rap legenda, Eminem.

Sungguhpun banyak elemen lucu, sindiran dan penyampaian rap secara berterusan, Yung Raja tetap mengutamakan kejujuran dalam karya ini khususnya. Baginya, kejujuran menjadi tunas penting ketika menghasilkan lagu terbaharu ini.

Dia juga tidak berkenan dengan pendekatan ramai penyanyi rap lain yang terlebih mencuba untuk memperlihatkan diri mereka hebat atau kelihatan tidak organik.

"Saya tidak tahu kenapa, saya lihat ramai penyanyi rap begitu obses kelihatan 'cool' setiap masa." Saya tulis lagu itu bukan sekadar hiburkan pendengar, sebaliknya untuk kepuasan diri sendiri," katanya.

Istimewanya, koreografi dalam video terbabit turut menampilkan artis tari terkenal. Antaranya Alam Wakaka, Izzazly Fikry Kamri dan Kalaiasan Sivalingam yang berjaya menghidupkan tarian zapin Melayu.

Bagi tarian tradisional kipas dan sapu tangan Cina pula dipersembahkan pasangan Wong Chi Yin dan Douglas Philip Labadin. Lenggok tarian tradisi India yang cukup mengasyikkan menampilkan Nadiah Rahmat serta mendapat khidmat pereka tari popular, Mohd Nurul Azmie Zanal Abdden.

Kreativiti tarian tradisional yang ditampilkan dalam video ini adalah inisiatif syarikat rakaman Def Jam Malaysia dan Universal Malaysia untuk mengetengahkan warna-warni tarian tradisional tempatan.

Lagu terbaharu Yung Raja itu mendapat sentuhan penerbit terkenal Singapura, Flightsch. Melodinya diadun cukup sempurna dengan kekemasan susunan muzik serta irama hip hop moden dan bunyian yang mengasyikkan disatukan.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:15am
d