rap

Tuah Lia menyanyi di Instagram

Oleh Norhayati Nordin

PADA era pengaruh media sosial ketika ini, ramai juga bakat baharu seni suara tanah air dicungkil menerusi persembahan yang menarik perhatian di Instagram.

Begitu juga dengan peluang bergelar penyanyi yang diperoleh bakat baharu dikenali, Lia Aziz. Gadis ini akan muncul dengan lagu solo pertamanya berjudul Kucu Kuca, tidak lama lagi.

Mengulas pembabitannya, Lia yang berusia 17 tahun berkata, dia banyak membuat 'cover' lagu popular di Instagram dan akhirnya mendapat lamaran daripada syarikat Rusa Music untuk menjadi penyanyi rakaman.

"Seingat saya, video nyanyian yang pernah tular di media sosial adalah lagu Empat Dara. Bagaimanapun, saya anggap peluang bergelar penyanyi yang diperoleh ini adalah rezeki tak diduga.

"Pada mulanya, bimbang juga nak buat keputusan untuk menerima tawaran menjadi penyanyi kerana saya masih remaja dan kurang pengalaman. Ditambah, saya pun banyak menyanyi di Instagram sahaja," katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Nur Aliah Faizana Abdul Aziz ini, dia nekad mengambil peluang dimiliki itu apabila mendapat sokongan padu daripada keluarga terutama ibu bapanya.

"Ibu bapa, memang tahu minat saya pada nyanyian dan mereka memberi dorongan supaya saya mencuba. Lagipun, saya juga diberi peluang menyanyi dan merakamkan lagu sendiri.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dapat ketengahkan lagu hasil ciptaan sendiri sebagai karya solo pertama. Malah, lagu Kucu Kuca ini bergenre Pop, meskipun saya amat sukakan lagu balada dan R&B.

"Bagaimanapun, ini percubaan saya muncul dengan lagu beridentitikan diri sendiri. Harapan saya, semoga lagu Kucu Kuca diterima baik oleh pendengar apabila dilancarkan nanti," katanya.

Berbicara pengalaman masuk ke studio, Lia berkata, dia mulanya sangat gementar.

Katanya dia seorang yang pemalu dan kurang keyakinan diri ketika itu.

"Sekarang, situasi saya sudah berubah dan makin bersedia untuk menunggu masa lagu Kucu Kuca ini dilancarkan kepada pendengar. Saya berasa sudah sedia mental dan fizikal.

"Bahkan, saya juga yakin boleh menerima kritikan daripada warganet sekiranya dikecam nanti. Bagi saya, ambil sahaja kritikan itu dari sudut positif, manakala kecaman yang negatif diabaikan.

"Namun, saya pasti tidak semua kritikan negatif itu harus dilihat sebagai keburukan. Saya percaya, kritikan negatif itu juga boleh dijadikan titik perubahan kepada yang lebih baik.

"Dalam soal ini, saya melihat bagaimana sesuatu kritikan itu harus diterima. Apapun, saya akan lebih utamakan pendekatan secara positif," katanya.

Ditanya juga mengenai persediaannya untuk menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Lia berkata pelajaran tetap utama. Ujarnya, dia memiliki impian untuk melanjutkan pengajian hingga ke menara gading.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:15am
d