rap

4 karakter suara licik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

IMPIAN untuk menyaksikan gabungan empat penyanyi ini beraksi dalam persembahan berskala besar iaitu konsert masih belum terlaksana ekoran penangguhan konsert 4G's yang sepatutnya berlangsung pada 17 dan 18 April lalu di Istana Budaya akibat penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam perkembangan terkini, konsert itu dijadualkan berlangsung pada 11 dan 12 Disember depan.

Mengikut perancangan juga, Akim Ahmad, Hazama, Black dan Tomok bakal menyanyikan sebuah lagu baharu yang dicipta khas untuk dipersembahkan pada konsert itu. Namun, bagi memenuhi permintaan peminat, lagu yang sudah siap dirakam itu sudah dilancarkan secara rasmi semalam.

Lagu berjudul Suara Licik hasil ciptaan Taja dan lirik oleh Ana Raffali itu diterbitkan juga oleh Taja.

Akim yang juga penyanyi kumpulan Akim & The Majistret berkata, lagu itu sangat unik.

"Rakaman lagu ini sangat unik. Lagu ini dihasilkan oleh Taja (Meet Uncle Hussain) dan lirik pula oleh Ana Raffali. Melodi dan lirik lagu ini sangat bagus. Saya amat gembira dapat menyanyi dan merakam lagu ini bersama tiga rakan lain. Kebetulan ketika itu kami nak adakan konsert, jadi perlukan satu lagu baharu yang dinyanyikan bersama. Jadi karya ini sangat menarik untuk kami persembahkan kepada peminat.

"Diakui, merakamkan sebuah lagu bersama Hazama, Black dan Tomok memberi pengalaman luar biasa. Sebab masing-masing ada karakter dan keunikan suara tersendiri. Mereka semua penyanyi yang bagus. Sejujurnya, saya teruja bekerjasama dengan mereka dalam projek ini.

"Apabila bekerja dengan kawan-kawan, kita tak stres kerana masing-masing berikan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama lain. Malah, kami cuba memberikan yang terbaik dalam sesi rakaman," katanya.

Selepas tarikh baharu bagi konsert 4G's sudah ditetapkan, Akim teruja untuk mempersembahkan lagu baharu itu pada skala yang besar.

"Pada hari konsert nanti, harapnya lagu ini dapat memenuhi cita rasa semua peminat dan mereka menikmati nyanyian kami. Saya harap selepas ini peminat akan terus menyokong konsert artis tempatan.

"Tanpa penyokong dan peminat, rasa sunyi bila di atas pentas. Bila peminat ada, ia menyuntik semangat yang besar untuk kami sampaikan perasaan dan bait-bait lirik dalam persembahan setiap lagu," katanya.

Senada dengan Akim, Black mengakui gembira dapat bekerjasama dengan Akim, Tomok dan Hazama.

"Perasaan sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan sahabat yang sama-sama suatu ketika dahulu membina nama dalam industri muzik.

"Komitmen dan semangat yang diberikan mereka bertiga menunjukkan yang mereka juga berasa tidak sabar untuk lagu ini diputarkan. Malah, tidak sabar nak dipersembahkan secara langsung pada konsert," katanya.

Bagi Tomok pula, kali pertama bekerjasama dalam lagu bersama tiga rakan penyanyi lain sesuatu yang menarik dan istimewa.

"Alhamdulillah, lagu ini sangat istimewa sebab saya rasa ini pertama kali kami digabungkan bersama dalam satu lagu. Sebenarnya, bergandingan dengan semua sahabat saya ini satu perkara yang sangat menarik. Benda susah jadi menarik sebab kami tolong antara satu sama lain.

"Jadi, hasilnya menarik sebab semua kawan-kawan dalam ini. Sepatutnya, lagu kami dipersembahkan pada konsert tempoh hari, tapi disebabkan Covid-19 terbatal, namun ia tak mematahkan semangat kami untuk teruskan konsert itu.

"Pada malam konsert itu nanti, kami akan persembahkan kepada semua. Saya sangat 'looking forward' pada lagu ini supaya ia diterima dan dekat di hati peminat. Saya harap lagu ini dapat sokongan semua," katanya.

Sementara itu, Hazama menyifatkan kerjasama dengan Akim, Tomok dan Black saling memberi tunjuk ajar.

"Pengalaman bersama mereka bukan sahaja dalam lagu ini malah semasa kami bersama-sama di dalam industri muzik. Mereka banyak memberi tunjuk ajar serta boleh menerima pandangan pihak lain.

"Mereka tidak kedekut memberi ilmu serta memberikan komitmen yang sangat tinggi sewaktu merakamkan lagu ini. Kami juga bukan sahaja sahabat dalam indusri muzik, malah sangat rapat di luar pentas," katanya.

Lagu ini juga sudah dilancarkan di semua platform digital muzik dan boleh mula distrim sejak semalam.

Sementara itu, video lirik lagu Suara Licik boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 6:20am
d