rap

Satu sen tak pernah dapat royalti - Azharina

Oleh Syafil Syazwan Jefri

"BADAN Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) itu lebih kepada 'along' (lintah darat)."

Itu luahan penyanyi, Azharina Azhar mengenai PRISM yang tidak pernah membayar royaltinya sejak 2008 sehingga ia dibubarkan.

"Saya berikan pendapat berdasarkan pengalaman saya sebagai ahli PRISM. Saya sendiri tidak pernah menerima satu sen pun bayaran daripada pihak mereka sejak 2008 sehingga ke hari ini.

"PRISM itu patut direjam batu sebab makan hak artis dan tidak bayar satu sen pun. Syukurlah rakan-rakan artis yang pernah menerima bayaran daripada Recording Performers Malaysia (RPM)," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Elegi Sepi itu juga meluahkan pendapatnya mengenai badan yang bertanggungjawab menguruskan bayaran royalti artis perlu dikawal oleh kerajaan.

"Sejujurnya, badan (menguruskan bayaran royalti) di Malaysia harus dikawal selia oleh kerajaan untuk memastikan bayaran royalti artis diberikan secara adil dan saksama kepada semua ahli.

"Jika tidak ada kawalan daripada pihak kerajaan, banyak isu akan timbul seperti yang berlaku sekarang. Orang akan ambil kesempatan atas kerja keras orang lain," katanya.

Sehingga kini, Azharina tidak pernah mengisi sebarang borang pendaftaran atau memindahkan keahlian daripada PRISM ke RPM.

"Rakan artis, Jaclyn Victor adalah antara ahli lembaga pengarah dalam RPM dan pernah mengajak saya untuk turut serta sebagai ahli.

"Namun, sehingga ke hari ini saya tak pernah terima atau isi sebarang borang pendaftaran mahu pun memindahkan keahlian saya daripada PRISM ke RPM.

"Apa yang pasti, walaupun sudah berlaku perubahan, saya tak pernah menerima sebarang pembayaran royalti sehingga ke hari ini," katanya.

Azharina mengulas perkara itu sebagai tanda sokongan kepada rakan-rakan artis yang menjadi mangsa bayaran royalti seperti yang dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.

Semalam, penyanyi dan komposer, Tam Spider yang juga ahli (RPM) mendedahkan sudah lima tahun tidak mendapat bayaran royalti daripada badan itu.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mendesak Pengerusi RPM, Datuk Sheila Majid meletak jawatan berikutan kegagalannya menyelesaikan isu royalti artis.

Kemudian, SPRM menyerbu empat pejabat badan pengurusan royalti artis kelmarin bagi memulakan siasatan berhubung isu dana hasil kutipan royalti hak cipta lagu.

Antara pejabat yang diserbu adalah Recording Performers Malaysia (RPM), Public Performance Malaysia (PPM), Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) dan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP).

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 1:20pm
d