rap

Tetap mahu Sheila letak jawatan!

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Tekanan makin hebat datang daripada artis dan penggiat seni lain yang mendesak penyanyi Datuk Sheila Majid meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM).

Sheila didakwa gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya dengan baik sehingga menyebabkan isu pengagihan bayaran royalti berterusan sehingga kini.

Kemuncak daripada kemelut ini mengundang Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk mengadakan sidang media khas pada Isnin ini.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, artis terkenal antaranya Datuk Khadijah Ibrahim, Ito, Rafi Suhu dan ramai lagi akan turun padang untuk mendesak Sheila meletakkan jawatan sebagai Pengerusi RPM.

"Datuk Awie juga sepatutnya turut serta tapi dia tak dapat berbuat demikian kerana terdapat penggambaran di luar Kuala Lumpur.

"Semua sepakat minta diberikan peluang kepada orang lain bagi menjalankan tugas berat yang perlu dipikul sebaik mungkin.

"Ramai individu yang layak dan yang nampak amat berpotensi adalah antara Khaty dan Rafi Suhu," katanya.

Freddie berkata, ketelusan amat perlu dalam menentukan royalti berjumlah lebih RM20 juta dan bahagian artis daripada RM140 juta yang diagihkan kepada ahli mendaftar dengan RPM dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (PRISM) Bhd yang sudah menutup operasinya.

"Dia sebenarnya bukan dipilih oleh artis sebaliknya oleh syarikat rakaman untuk menerajui RPM. Apabila dia gagal menyelesaikan masalah artis dan isu royalti, dia kena letak jawatan.

"Dia patut sedar artis dan penggiat seni amat perlukan wang untuk hidup. Mereka kebanyakannya bergantung kepada industri muzik untuk mencari pendapatan.

"Dalam keadaan sekarang ramai tak dapat bekerja dan amat perlukan wang. Sheila akan dilihat bukan sahaja sebagai pemimpin yang gagal menjalankan tugas dengan sempurna, malah seorang yang mementingkan diri daripada fikirkan soal kebajikan ahli yang susah," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap empat badan kutipan royalti iaitu Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Sdn Bhd, RPM dan PRISM.

Ia berikutan laporan dibuat oleh Freddie dalam perjumpaan bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki, bulan lalu.

Tindakan itu diambil Freddie sebagai jalan terakhir apabila Sheila dilihat sukar memberikan kerjasama.

"Dua perjumpaan membabitkan menteri iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi juga gagal dihadirinya.

"Jawatankuasa muzik bawah KKMM aturkan perjumpaan untuk selesaikan masalah royalti artis. Yang hadir hanya orang Music Author Copyright Protection (MACP) dan Public Performance Malaysia (PPM). RPM tak hadir dan tiada wakil," katanya.

Disiarkan pada: November 28, 2020 @ 8:04pm
d