rap

Syahmi Sazli pernah nak pinjam duit isteri demi Mael Totey

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Youtuber terkenal yang juga pengarah filem, Syahmi Sazli mengaku dia pernah berhasrat mahu meminjam wang isterinya untuk menyiapkan pembikinan karya Mael Totey The Movie.

Syahmi berkata perancangan itu difikirkan sekadar persediaan kecemasannya jika sumber kewangan dimiliki tidak mencukupi dalam proses penerbitan filem berkenaan.

"Sebagai orang baharu yang terbabit menghasilkan filem, saya memang tak tahu jumlah perbelanjaan yang sebenar. Jadi, saya perlu bersiap sedia dengan duit tambahan jika kewangan yang ada tidak mencukupi.

"Jadi, saya terfikir mahu meminjam wang isteri dan hampir melakukannya. Bagaimanapun, selepas mengira dengan teliti, Alhamdulillah wang yang saya ada sendiri sudah cukup untuk menyiapkan filem itu," katanya kepada Harian Metro.

Syahmi berkata apapun dia berterima kasih kepada pengikutnya di YouTube dan Facebook serta penonton yang memberi sokongan apabila menerima baik karya Mael Totey The Movie yang berjaya mengutip lebih RM6.4 juta sepanjang ditayangkan di Astro First sejak 22 Oktober lalu.

Mael Totey The Movie yang menampilkan dua pelakon istimewa iaitu Asif Suhaimi dan Yeo Parey juga mengangkat kisah menarik berkaitan semangat pemuda orang kelainan upaya (OKU) sanggup menyahut cabaran diri sendiri belajar bahasa Inggeris demi menawan hati wanita idaman.

Dengan tagline 'Kita lain mereka sama', mesej positif ingin disampaikan filem ini mudah difahami oleh penonton dan pendekatan jalan ceritanya juga begitu dekat dengan masyarakat.

Mengulas jumlah perbelanjaan untuk menyiapkan karya Mael Totey The Movie itu, Syahmi berkata ia hampir mencecah RM400,000 dan proses penggambaran pula dilakukan dalam tempoh 14 hari.

Meskipun Mael Totey The Movie pernah mendapat kritikan daripada pelbagai pihak, Syahmi berkata dia tidak pernah berkecil hati sebaliknya menganggap ia sebagai teguran membina untuk memperbaiki kelemahannya bagi penerbitan filem yang akan datang.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 11:47am
d