rap

Primeworks Studios dan WeTV Malaysia jalin kerjasama

Oleh Georgie Joseph

Petaling Jaya: Primeworks Studios mengumumkan kerjasama dengan perkhidmatan penstriman video, platform OTT (Over The Top), WeTV Malaysia bagi menghasilkan produksi bersama menayangkan drama tempatan terpilih mulai hari ini.

Pengurus WeTV Malaysia, Heng Aik Kuang berkata kerjasama itu sangat mengujakan demi memastikan drama tempatan juga mendapat sokongan padu untuk diketengahkan lebih jauh.

"Kami gembira dapat bekerjasama dengan Media Prima dalam menerbitkan lebih banyak program tempatan. Kami mengharapkan agar pelbagai program hebat dan bermutu tinggi dapat diterbitkan melalui usahasama ini.

"Kehendak dan citarasa penonton menjadi keutamaan kami, selain dapat memberi manfaat  dan membantu serta menyokong bakat-bakat di belakang tabir industri tempatan," katanya.

Selain menghasilkan produksi bersama, kedua pihak turut menyenaraikan beberapa drama terpilih khas untuk tontonan pelanggan WeTV yang boleh ditonton secara percuma selepas sejam bersiaran di TV3.

Satu daripada drama itu ialah Sang Pewaris yang mengisi slot Lestary TV3 dan sudah ditayangkan mulai 26 November lalu sehingga 30 Disember ini dan dipilih untuk tayangan di WeTV Malaysia. 

  Drama sebanyak 13 episod itu dibintangi pelakon pujaan ramai seperti Ben Amir dan Amyra Rosli sebagai teraju utama.

  Tidak ketinggalan, drama Bidadari Salju sebanyak 28 episod yang mengangkat tema buli dan dendam, lakonan Adam Lee bersama Sweet Qismina. Drama itu untuk slot Akasia dan akan ditayang bermula 15 Disember ini sehingga 21 Januari 2021.

Pelanggan WeTV juga bukan sahaja dapat mengakses filem Aku Bukan Gila, Arus Merah dan program terbitan produksi WeTV, tetapi turut dapat menikmati kandungan premium di WeTV dengan harga langganan promosi RM7.90 sebulan atau RM79.90 setahun.

Langgan WeTV sekarang dan tonton pelbagai drama dan filem menarik yang disiarkan melalui pelantar wetv.vip, atau diaplikasi yang tersedia di Apple Store untuk pengguna iOS dan Google Play Store untuk Pengguna Android.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 2:48pm
d