rap

'Dah dua tahun daftar RPM, tak pernah pun dapat royalti'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Aiman Tino memaklumkan sudah dua tahun mendaftar di bawah organisasi Recording Performers Malaysia (RPM), namun belum pernah menerima sebarang bayaran royalti.

Aiman ketika dihubungi bagaimanapun ragu-ragu untuk berkongsi pendapat yang terlalu mendalam memandangkan dia juga masih lagi baharu di dalam industri muzik tanah air.

"Saya dah mendaftar di bawah RPM sejak 2018. Ada juga saya dengar luahan rakan-rakan mengenai bayaran royalti yang tidak diterima oleh mereka.

"Tapi, saya pun masih baru. Jadi, saya takut juga kalau sekiranya bersuara, saya tersalah fakta atau berlaku salah faham. Jadi, saya dengar saja cerita mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi yang baru lima tahun berada di dalam industri itu, dia juga kurang didedahkan mengenai sistem bayaran royalti berkenaan.

"Saya sendiri pun tak didedahkan dengan proses pembayaran royalti dan sebagainya. Yang saya tahu, ibu bapa saya ada menerima royalti kerana mereka menghasilkan lagu dan lirik.

"Dari segi pendapatan, memang sekarang ada sedikit terjejas. Tapi, mereka pun tak ada bersuara apa-apa sebab keluarga kami pun bukanlah dalam kalangan komposer yang sudah lama," katanya.

Terbaharu, Aiman kini sedang mempersiapkan kedai Char Kuey Teow cawangan pertamanya yang bakal dibuka di Wangsa Maju dalam masa terdekat.

"Dalam tempoh krisis seperti sekarang, kita kena lakukan pelbagai kerja untuk mencari rezeki dan salah satu yang saya buat adalah membuka perniagaan makanan ini," katanya.

Disiarkan pada: November 29, 2020 @ 4:31pm
d