rap

Lagu dapat sentuhan Malique

Oleh Sudirman Mohd Tahir

SEJAK kemunculannya menerusi lagu Cemas dan Salam 1001 pada April lalu, penyanyi rap Siqma berjaya mencuri perhatian pendengar muzik tempatan sehingga diberi jolokan The New Malique oleh peminat.

Apatah lagi selepas Siqma muncul dengan single ketiganya Raja Simurgh pada Julai lalu.

Lagu yang dihasilkan bersama Kmy Kmo itu, disebut peminat sebagai kolaborasi idaman dalam mengubat rindu mereka terhadap penyanyi rap, komposer dan penerbit tersohor, Malique. Menerusi tona vokal, intonasi rap, seni lirik dan muziknya, Siqma mampu memperdaya peminat sehingga ada yang menyangkakan lagu Raja Simurgh itu adalah dendangan dan ciptaan Malique sendiri.

Bagai menyahut seruan peminat, Siqma muncul dengan lagu yang mendapat sentuhan Malique menerusi single keempatnya berjudul Dipinggirkan. Turut ditampilkan dalam lagu itu adalah penyanyi duo, Fahimi Rahmat dan Mal Hamka atau lebih dikenali sebagai FML.

Dipinggirkan adalah ciptaan Malique dan Fahimi Rahmat. Manakala lirik pula ditulis bersama Malique, Kmy Kmo dan Siqma. Malique turut bertindak selaku penerbit lagu itu.

Menerusi lagu itu, Siqma cuba bereksperimentasi dengan rentak R&B pula. Pertama kali mendendangkan karya ciptaan orang lain, Dipinggirkan adalah percubaan Siqma dalam mempelbagaikan jenis dan gaya muzik dalam karya keluarannya.

Siqma turut menyifatkan peluang mendendangkan karya ciptaan dan terbitan idolanya Malique atau lebih dikenali peminat sebagai Mr General adalah suatu pengalaman manis dan berharga buat dirinya.

Mengulas mengenai kolaborasi bersama duo FML, Siqma berkata, mereka adalah pilihan tepat.

"Saya percaya dan yakin FML adalah pilhan yang tepat. Ketika proses pembikinan lagu ini kami ada aura yang sama dan saya amat selesa bekerja dengan mereka," katanya.

Menyifatkan lagu itu adalah misi peribadinya untuk memuaskan hati peminatnya, Siqma menyasarkan karya terbaharunya itu bukan sahaja mendapat sambutan positif pendengar, malah ia mampu membawanya ke pentas anugerah.

Bagi Fahimi pula, pembikinan lagu itu bagai pucuk dicita ulam mendatang.

"Sejak pertama kali mendengar demo lagu ini, kami terus jatuh cinta. Bagai mimpi menjadi nyata, sudah tentu kami tidak akan melepaskan peluang untuk bergandingan dengan Siqma dan bekerja dengan legenda muzik seperti Malique. Banyak yang kami pelajari daripada kolaborasi ini dan sangat bersyukur atas peluang yang diberikan.

"Menerusi lagu ini, kami tampil berkolaborasi dengan penyanyi rap buat pertama kalinya. Kami berterima kasih kepada Siqma dan Malique kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk terlibat dalam projek seperti ini," katanya.

Lagu itu mengisahkan mengenai seseorang yang hampir berputus asa dan berasa seperti dipinggirkan dunia. Namun setelah melalui segala kesusahan dalam kehidupan, semangatnya mula bangkit apabila dia baharu sedar yang dalam setiap perjalanan kehidupannya, ada sesuatu atau seseorang yang akan hadir untuk menemani dan menyokongnya.

Single terbitan Universal Music Malaysia itu sudah dilancarkan di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, YouTube Muzik, Channel YouTube dan juga Apple Music bermula 20 November lalu.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 6:15am
d