rap

'Jangan mencuba-cuba'

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MELAKONKAN karakter sebagai lelaki yang berpoligami, nampaknya tidak menjadi sesuatu yang sukar buat pelakon Sharnaaz Ahmad.

Namun begitu, dia tidak menafikan bahawa poligami di dunia realiti bukanlah sesuatu yang boleh dijangka kerana dirinya sendiri juga kini bergelar duda.

"Mempunyai lebih daripada seorang isteri itu mungkin tak semua orang mampu, sekiranya tak ada kriteria itu dan belum cukup ilmu, janganlah mencuba-cuba.

"Saya sendiri pun kena kahwin dahulu baru boleh bicarakan sama ada saya mampu atau tidak untuk berpoligami. Tapi, kalau diberi peluang, apa salahnya," kata Sharnaaz dalam nada bergurau.

Sharnaaz ditanya soalan itu kerana dia kini hadir dengan karya terbaharu di TV berjudul Isteri Misteri.

"Dalam drama bersiri hasil kerjasama platform penstriman video Viu dan Media Prima ini, saya memegang peranan sebagai Rizal yang memiliki tiga isteri.

"Seperti yang kita semua sedia maklum, poligami adalah satu benda yang serius dan sensitif. Jadi, dalam drama Isteri Misteri ini, isu poligami 'dilembutkan' supaya sesuai dengan genre drama ini," katanya.

Menurutnya, kalau diikutkan, banyak perkara yang boleh diperbincangkan dengan lebih mendalam apabila menyentuh persoalan berhubung poligami.

"Kalau nak diikutkan, akan ada pihak yang menyentuh mengenai kecurangan dan sebagainya bila kita bercakap mengenai poligami.

"Jadi, kita tak mahu penonton tertekan dengan perkara-perkara berat begitu dan cuba sajikan secara hiburan ringan buat tontonan mereka," katanya.

Berkongsi mengenai penggambaran yang dijalankan dalam tempoh pandemik Covid-19, Sharnaaz menegaskan bahawa pihak produksi dan semua yang terbabit mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kami menjalani penggambaran selama 45 hari. Ada masanya terkejar-kejar juga, untuk siapkan sesuatu babak walaupun dalam keadaan mengikut SOP.

"Yang pasti, semua yang terbabit wajib mematuhi SOP untuk memastikan keselamatan semua pihak," katanya.

Selain Sharnaaz, drama Isteri Misteri juga turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Tiz Zaqyah, Azira Syafinaz, Sharifah Sakinah, Azar Azmi dan ramai lagi.

Karya Isteri Misteri adalah drama 10 episod dan ditayangkan pada setiap Rabu dan Khamis, jam 6 petang di TV3, manakala di platform Viu pula akan ditayangkan pada jam 7 malam.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 6:20am
d