rap

'Kampung Pisang masuk TV pula...'

Oleh Georgie Joseph

SEKUEL karya filem Mamat Khalid untuk Kampung Pisang tidak dinafikan berjaya mencipta fenomena tersendiri dalam industri layar perak tempatan. Mana tidak, jalan ceritanya yang sangat dekat dengan masyarakat menjadi nadi utama menarik penonton.

Justeru, Mamat, 57, gembira dengan percaturannya menyuntik pendekatan tersendiri terhadap cerita berkisar hantu menerusi elemen komedi. Baginya, kreativiti perlu diluaskan bagi membuka perspektif luas mengenai karya sebegitu.

Meskipun sudah beberapa sekuel Kampung Pisang menggunakan pendekatan demikian, dia belum bosan untuk terus menggunakan idea sebegitu. Baginya, kepuasan yang diraih sememangnya sangat tinggi dengan formula itu.

"Sewaktu 'trend' mengenai cerita hantu bermula sebelum ini, saya lebih melihat cabang yang luas untuk mengembangkan cerita sebegitu kepada idea lain. Ruang berkarya lebih banyak apabila menggunakan pendekatan komedi.

"Dalam cerita saya pun, karakter hantu yang digambarkan adalah imaginasi dan terjemahan sendiri. Bagaimanapun, semestinya saya masih mengambil idea daripada jenis-jenis hantu yang diceritakan dalam masyarakat.

"Manakala, untuk dialognya pula, saya memberikan kebebasan kepada setiap watak untuk mewarnakan skrip mereka. Paling penting adalah impak yang ditinggalkan daripada kata-kata mereka supaya diingati penonton," katanya.

Lama tidak mengarahkan siri, Mamat baru-baru ini tampil dengan percaturan siri sekuel itu menerusi Kampung Pisang Bersiri-Siri. Meskipun kejayaan filem terdahulunya cukup menyakinkan, dia tidak mahu sambil lewa mengarahkan siri terbabit pula.

Menurutnya, elemen paling penting yang perlu diperkukuh adalah inti pati cerita dalam setiap episod. Lantas, dia sendiri mengerah idea sebaiknya untuk memastikan setiap episod dilunaskan dengan berkesan.

"Beza mengarah siri ini tentunya pada bahagian kos yang lebih rendah daripada bajet filem. Namun, ia bukan bermakna saya perlu mengurangkan kualiti penceritaan setiap episod Kampung Pisang Bersiri-Siri.

"Untuk pengetahuan, setiap episod adalah berbeza-beza dan tidak bersambung. Justeru, usaha kena lebih untuk mewarnakan penceritaan bagi setiap episod selain penampilan watak yang terdiri daripada nama-nama besar.

"Apabila mengarahkan siri, ruang untuk berkarya menjadi lebih banyak. Apapun, cabaran terbesarnya tentu sekali bagaimana untuk membuatkan penonton akan terus tertarik menanti setiap episod akan datang," katanya.

Turut menampilkan pengarah tersohor Aziz M Osman dan Mat London dalam siri terbabit, Mamat mengakui keputusan itu sememangnya cukup tepat. Mereka tidak disangkal berpengalaman hebat serta memudahkan kerjanya.

"Untungnya ada pembabitan kedua-dua mereka kerana masing-masing sudah tahu apa yang perlu dilakukan tanpa harus diarah lebih-lebih. Bukan sekadar cemerlang lakonkan watak, bahkan mereka tahu setiap aspek teknikal dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Mamat mendedahkan dia menerima tawaran daripada artis seni lukis bagi mengadaptasi karya filemnya kepada komik. Meski teruja, dia belum bersedia untuk menerimanya buat masa ini.

"Memang ada yang datang kepada saya menunjukkan hasil lukisan komik filem saya. Diakui sangat seronok melihat hasil kerja ditunjukkan mereka yang sememangnya sangat bagus.

"Bagaimanapun, untuk merealisasikannya kena benar-benar ada syarikat percetakan yang dipercayai bagi mengendalikannya. Saya harap akan ada syarikat percetakan yang serius untuk tampil berbuat demikian," katanya.

Kampung Pisang Bersiri-Siri turut menampilkan pelakon berkaliber lain seperti Bell Ngasri, Kazar Sairi, Datuk Awie, Hazama, Ellie Suriaty, Pekin, Imuda dan ramai lagi. Ia adalah projek premium sulung Astro Originals dan akan mula ditayangkan 7 Disember, jam 9 malam menerusi Astro Citra.

Disiarkan pada: November 30, 2020 @ 6:40am
d