rap

Video muzik teristimewa siti

Oleh Najiy Jefri

SIAPA boleh menafikan aura positif yang dimiliki penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Jika melihat daripada kejayaan single terbaharunya, Siapa Tak Mahu yang dilancarkan pada 16 Oktober lalu, video muzik terbabit berjaya mencapai satu juta tontonan dalam tempoh 72 jam di YouTube dan menduduki carta trending.

Tidak hanya itu, video muzik rasmi Kuasa Cintamu menerusi album ManifestaSITI2020 turut menterjemah sesuatu yang menarik untuk dikongsikan kepada peminat.

Bagi menterjemah secara visual maksud di sebalik

lirik lagu ini, pengarahnya, Adriana Tunku berkata, dia memfokuskan cerita perjalanan hidup Siti dari zaman kelahiran beliau sehingga dikurniakan cahaya mata, Siti Aafiyah.

"Bila diteliti, lagu Kuasa Cintamu ini sebenarnya sarat dengan emosi yang bercerita mengenai cinta yang bersifat universal. Ia boleh merujuk kepada beberapa bentuk cinta yang ada dalam kehidupan kita seperti cinta kepada Tuhan, pasangan, ibu bapa, keluarga dan anak.

"Menerusi video muzik ini, kami mengambil tema yang lebih luas dalam menggambarkan kuasa cinta dalam kehidupan seseorang itu. Menampilkan kisah hidup Siti sendiri sebagai tema utama dalam video muzik ini, kami cuba menyorot kembali perjalanan hidup Siti dari kecil hingga dewasa dan setiap bentuk cinta yang pernah dirasainya dari dahulu hingga kini," katanya.

Menurut Adriana, lagu ciptaan Melly Goeslow dan lirik tulisan bersama Siti itu menggunakan teknik penggambaran sekali rakam yang memerlukan perancangan rapi.

"Bagi menggambarkan perjalanan berterusan dalam kehidupan Siti, kami merakam keseluruhan video muzik ini dalam satu urutan tanpa sebarang gangguan. Teknik penggambaran sekali rakam ini, memerlukan perancangan yang rapi kerana ia dirakam dari perspektif satu kamera dalam satu masa dan ruang yang sama.

"Setiap butiran kecil membabitkan apa-apa perubahan di hadapan lensa kamera perlu dirancang rapi supaya penonton tidak menyedari apa yang berlaku di belakang lensa kamera. Bagi mendapatkan 'shot' yang sempurna, kami terpaksa melakukannya berulang kali," katanya.

Sementara itu, penerbit Razlan Shah menyifatkan penyanyi nombor satu negara itu adalah figura yang profesional dan mudah untuk menjalin kerjasama.

"Bekerjasama dengan Siti adalah suatu pengalaman yang sangat berharga buat pasukan kami. Beliau cukup komited ketika pembikinan video muzik ini dan sentiasa memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan kamera.

"Sikap rendah diri dan profesionalisme beliau sememangnya melayakkan Siti bergelar penyanyi nombor satu di Malaysia. Saya berterima kasih kepada Siti kerana memberi peluang kepada pasukan kami untuk memaparkan kisah peribadi hidupnya dalam video muzik sekali rakam ini.

"Saya juga berterima kasih kepada pasukan produksi Denhouse, Studio Selepas Ribut serta penata gaya Kel Wen dan Abu Shaef Hamza yang banyak membantu dalam merealisasikan visi artistik video muzik ini," katanya.

Video muzik rasmi Kuasa Cintamu bukan sahaja membawakan kelainan dari segi teknik penggambaran, lebih istimewa apabila Siti Aafiyah turut terbabit menjayakannya.

Bertepatan dengan lirik yang dihasilkan, Siti berkata, penantiannya untuk memiliki Siti Aafiyah adalah satu anugerah daripada Allah.

"Ini adalah satu pengalaman baharu buat saya kerana menjayakan penggambaran dalam satu urutan tanpa henti serta dalam masa yang sama saya harus menukar persalinan dalam masa beberapa saat sahaja.

"Kami mencuba beberapa kali dan akhirnya pihak pengarah mengambil hasil yang terbaik daripada penggambaran terbabit. Aafiyah juga turut menyerikan video ini dan saya mendedikasikan video ini buatnya," katanya.

Video muzik rasmi Kuasa Cintamu boleh dilayari di saluran YouTube Siti Nurhaliza bermula hari ini.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:40am
d