rap

Suntikan 'emosi' versi piano

Oleh Georgie Joseph

SELEPAS melancarkan lagu Reminisensi lebih empat bulan lalu, band Insomniacks kini tampil pula dengan versi berbeza untuk lagu terbabit. Dengan cuma menggunakan piano, tentu sekali 'jiwa' yang disalurkan dalam versi itu agak istimewa.

Mana tidaknya, terjemahan yang dilakukan semestinya membabitkan corak emosi lebih menebal. Tidak ketinggalan, lagu Reminisensi itu sendiri pun sarat dengan makna mendalam.

Semestinya, band dianggotai Iqie, Wan Arif Iskandar, Danial Doodye dan Gavin Wong itu mahukan kepuasan dalam berkarya menerusi versi yang berbeza. Daripada pendekatan itu jugalah, membuka mata ramai bahawa terjemahan karya mereka ada warna-warninya.

Vokalisnya, Iqie mengakui 'trend' itu bukanlah asing pun dalam kalangan pengkarya muzik. Ia bagaikan sudah menjadi rutin biasa terutama untuk band bagi mevariasikan corak susunan muzik.

Sekali gus, mereka sendiri turut mendapat kepuasan apabila mempersembahkan lagu asal kepada versi piano. Menurutnya, mereka bersyukur ramai peminat sebenarnya suka apabila ada versi lain dibuat.

"Sudah menjadi tradisi buat band pop-punk untuk melakukan versi 'stripped down' terhadap lagu-lagu mereka. Berdasarkan pengamatan kami, ia benar-benar seronok dinikmati oleh penyokong kami terutamanya.

"Namun paling utama semestinya kepuasan yang kami dapat memang sangat menyeronokkan apabila menghasilkan versi berbeza begini. Disebabkan itu, kami memang tidak akan menolak sekiranya diberi peluang melakukannya," katanya.

Tanpa mengubah secara drastik pada melodinya, Insomniacks juga mengakui penghasilan versi piano ini tidak sukar. Bagaimanapun, mereka akui suntikan daripada elemen terutama emosi adalah sangat penting.

Berdasarkan versi baharu ini juga, mereka berjaya menjadikan melodinya lebih menyentuh hati dan mendayu. Iqie berkata, cabaran dialami mereka hanyalah dalam mencari kod baharu yang tepat untuk elemen emosi itu.

"Emosi yang kami tampilkan menerusi vokal tidak banyak berbeza pun dengan versi asalnya. Cuma, versi ini sedikit perlahan dan saya boleh cakap, keharmonian dalam permainan instrumen sebenarnya membuatkan versi itu lebih beremosi.

"Saya rasa, pencarian kod baharu untuk dipadankan dengan emosi kami ada sedikit mencabar. Selain itu, prosesnya secara keseluruhan sangat menyeronokkan dan kami sangat gembira dalam studio," katanya.

Apapun, Iqie berkata kedua-dua versi memiliki kekuatannya tersendiri dan mereka masing-masing sukakan setiap versi itu. Ini kerana, mereka sudah berusaha mencurahkan kreativiti dan tenaga sepanjang proses penghasilannya.

"Kami sebenarnya tidak sabar menanti apa pula reaksi daripada peminat selepas mendengarnya. Kami berharap versi piano ini akan membuai mereka sekali gus menyukainya," katanya.

Terdahulu, Insomniacks sudah membuktikan hal itu apabila pernah menampilkan versi piano untuk lagu hit mereka, Pulang. Bahkan, jumlah tontonan yang mencecah jutaan untuk versi itu menjadi alibi kukuh bahawa percubaan mereka berhasil.

Sementara, jumlah tontonan Reminisensi di YouTube yang kini sudah melebihi 800,000 adalah pencapaian cukup membanggakan. Justeru, kumpulan terbabit mahu cuba menggunakan pendekatan hasilkan versi piano pula.

Pada Ogos lalu, cita-cita Insomniacks tercapai untuk muncul dengan EP sulung selepas lebih lima tahun mempertaruhkan karya dan mengukuhkan nama dalam industri muzik tempatan. Mereka turut memastikan kualiti EP berjudul Kepala Batu itu menepati tahap diimpikan mereka.

Lagu Reminisensi versi piano boleh dimuat-turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 6:44am
d