rap

'Tunggu SPRM buat kerja dulu' - Sheila Majid

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM), Datuk Sheila Majid hanya akan mengeluarkan kenyataan mengenai kontroversi desakan dia meletakkan jawatan atas dakwaan gagal menyelesaikan isu agihan royalti ahli selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai melakukan siasatan.

Sheila berkata, pihaknya bimbang ia akan mengganggu siasatan pihak berkuasa itu.

"Saya tak akan mengulas atau beri sebarang kenyataan berhubung sidang media (Karyawan) yang diadakan semalam. Biar SPRM selesaikan siasatan mereka. Selepas itu baru saya keluarkan kenyataan," katanya.

Sheila berkata, RPM juga tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

"Buat masa ini, RPM sedang disiasat. SPRM juga sudah menghubungi Pengurus Besar kami. Jadi, kami sedang atur tarikh dan masa untuk berjumpa. Buat masa ini kami takkan cakap apa-apa sehingga siasatan selesai kerana takut nanti mengganggu siasatan.

 "Mereka sudah minta dokumen daripada RPM dan kami beri apa yang diminta, cuma SPRM belum lagi menghubungi saya," katanya.

Sheila yang mula menerajui RPM sejak 2012 berkata, dia bersedia dipanggil SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan. 

Semalam, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez bersama penyanyi, Datuk Khadijah Ibrahim; penyanyi Blues Gang, Ito Mohd dan pemuzik Rafi Mohd mengadakan sidang media bagi mendesak Sheila meletak jawatan.

Freddie mendakwa sudah berjaya membuat petisyen yang ditandangani seramai 114 ahli RPM.

Selain itu, seramai 67 ahli PRISM juga memberi mandat kepadanya untuk mengatasi masalah ini. Dia juga bercadang membawa isu terbabit kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Sheila tidak meletak jawatan.

Disiarkan pada: December 1, 2020 @ 2:51pm
d