rap

Pantang perkongsian bukan-bukan

Oleh Norhayati Nordin

PENGARUH media sosial pada masa kini seperti Instagram dan Facebook cukup mendapat perhatian ramai.

Malah, ia juga menjadi tempat segelintir warganet meluahkan isi hati. Menerusi komen yang ditulis warganet, ada yang positif dan tidak kurang juga lebih menjurus pada kecaman, kritikan dan berbaur provokasi.

Malah, ada kalanya cuba menyebarkan kebencian. Dalam soal ini, platform media sosial selebriti sering menjadi sasaran.

Apapun, setiap insan yang bergelar manusia pasti ada tahap kesabaran mereka. Begitulah juga, situasi dilalui pelakon Azhan Rani.

Baru-baru ini, Azhan, 44, seakan tercabar dengan sikap segelintir pengikutnya di media sosial yang boleh dikata tidak sensitif terhadap perasaan orang lain.

Umpama, jika seseorang itu sudah dibenci, maka semua orang harus tidak menyukainya juga.

Segalanya berlaku apabila Azhan memuat naik fotonya ketika berkumpul dengan pelakon lain dan salah seorangnya adalah pelawak Ali Puteh di Instagram miliknya dan muncul beberapa pengikut yang mengecam dan mengkritik.

Tidak selesa dengan situasi itu, Azhan dengan tegas menyelar tindakan mereka yang dianggapnya sebagai toksik dan meminta supaya jangan mencampuri urusan peribadi orang lain.

Menurut Azhan, dia tidak faham dengan sikap segelintir warganet yang sukakan provokasi dan cuba menyebarkan aura negatif supaya tidak menghormati orang lain dengan cara mengajak membenci seseorang individu itu bersana-sama.

"Itu bukan cara saya. Ini kerana platform media sosial saya seperti Instagram dan Facebook lebih digunakan sebagai medium perkongsian rakaman dan galeri aktiviti bagi mempromosikan kerjaya.

"Terus-terang, saya selalu saja menyekat mereka (pengikut) yang terlalu toksik dalam Instagram saya. Apapun, saya tetap syukur kerana dalam Instagram saya susah nak jumpa 'scammer', orang berniaga pil kurus, pengumpul wang lama mahu pun mereka yang membuat kandungan lucah," katanya.

Ujar Azhan, dia juga tidak gentar kehilangan pengikut di media sosial kerana baginya tidak perlu wujud kelompok yang toksik untuk mengikuti dirinya.

Azhan berkata, ini kerana dia tidak meminta-minta dirinya diikuti dan pernah juga menutup akaun Instagram dan Facebook sebelum ini pada ketika jumlah pengikutnya cukup ramai.

"Soal pengikut di media sosial saya akan kurang atau tidak, sejujurnya saya tak pernah meminta-minta diikuti oleh mereka (warganet)," katanya.

Menurut Azhan, dia pantang melihat perkongsian perkara bukan-bukan di akaun media sosialnya.

Malah, jika dia ternampak memang terus disekat kerana tidak mahu berbangga mempunyai jumlah pengikut toksik.

"Kalau berminat nak tahu mengenai saya jadilah pengikut ikhlas, tapi jika tidak berminat boleh sahaja 'unfollow'. Ditambah, kerjaya saya adalah pertaruhan utama perkongsian di media sosial dan bukan kisah peribadi," katanya.

Menurut Azhan yang dikenali dengan watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur dan Nur 2, dia percaya hasil kerja yang baik akan sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.

Katanya, jika ingin dihormati orang maka kita juga perlu menghormati orang lain terlebih dahulu.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 6:30am
d