rap

Artis popular Korea Selatan boleh tunda sertai tentera

Oleh Agensi

Parlimen Korea Selatan membenarkan bintang K-pop popular seperti BTS menangguhkan perkhidmatan wajib ketenteraan sehingga berusia 30 tahun melalui satu rang undang-undang yang diluluskan.

Sebelum ini, semua lelaki Korea Selatan berusia antara 18 hingga 28 tahun diwajibkan berkhidmat dalam tentera negara itu selama 20 bulan.

Bagaimanapun, di bawah undang-undang yang disemak semula, bintang-bintang pop tertentu dibenar menangguhkan perkhidmatan mereka sekiranya mendapat persetujuan oleh Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan.

Pengecualian atau penangguhan perkhidmatan ketenteraan turut diberikan kepada atlet berprofil tinggi, pemuzik klasik serta pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara di peringkat Doktor Falsafah.

Di bawah Undang-Undang Perkhidmatan Ketenteraan yang disemak semula, seorang seniman budaya pop yang disarankan Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan untuk meningkatkan imej Korea Selatan dalam negara dan seluruh dunia dibenarkan untuk menangguhkan perkhidmatan sehingga berusia 30 tahun.

Pindaan terhadap akta itu diusulkan pada September lalu selepas populariti kumpulan BTS melonjak di luar negara.

"Ramai lelaki Korea berusia 20-an, termasuk BTS sering menghadapi masalah untuk membuktikan bakat mereka kerana kebimbangan mengenai perkhidmatan tentera. Pindaan ini sedikit sebanyak memberi kelegaan dan menyelesaikan masalah ini, " kata Jeon Yong-gi dari Parti Demokrat, salah seorang anggota parlimen yang mengusulkan rang undang-undang itu.

Minggu lalu, BTS menjadi kumpulan K-pop pertama yang menerima pencalonan Anugerah Grammy.

Lagu hit terbaru mereka Dynamite dicalonkan untuk kategori Pop Duo/Persembahan Kumpulan Terbaik, bersama bintang seperti Lady Gaga dan Taylor Swift.

Baru-baru ini, mereka melakar sejarah sebagai artis pop Korea Selatan pertama menduduki tangga teratas Billboard 100 dan kumpulan pertama yang mempunyai lagu bukan berbahasa Inggeris nombor satu dalam carta.

Disiarkan pada: December 2, 2020 @ 12:34pm
d