rap

Sarah, Shuib terus sabar dan positif

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri selebriti, Siti Sarah dan Shuib bakal mengadakan sidang media bagi menjelaskan kontroversi melanda susulan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram pada awal Oktober lalu.

Siti Sarah berkata, dia tidak boleh memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

"Sebenarnya saya masih tidak boleh berikan sebarang kenyataan. Tapi, Insya-Allah dalam masa terdekat akan selesai. Sikit saja lagi. Kami akan buat sidang media termasuk pihak SPRM," katanya.

Siti Sarah yang ditemui pada majlis pelancaran single duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman berkata, sepanjang perkara itu hangat diperkatakan dia dan suami hanya berfikiran positif selain sabar dengan ujian diberikan.

"Sebenarnya tahun ini banyak mengajar saya erti sabar. Ia memang sabar yang luar biasa. Namun, saya sangat bersyukur kerana dalam apa keadaan yang terjadi tahun ini terhadap kami, tapi Allah meletakkan kita di tempat yang paling baik. Alhamdulillah.

"Dalam apa juga keadaan, kami sentiasa positif. Shuib seorang yang sangat tenang. Kami tahu di mana kami berdiri dan tahu dalam apa juga dilakukan, Allah ada bersama," katanya.

Mengenai pelbagai spekulasi yang timbul, Siti Sarah berkata, dia tidak mampu menghalang warganet untuk berkata-kata.

"Sebenarnya saya tidak boleh buat apa-apa mengenai orang yang buat spekulasi. Walaupun belum diberitahu apa-apa, dia sudah buat spekulasi sendiri, saya tak dapat nak buat apa-apa mengenai itu. Namun, mereka harus tahu sekiranya mereka tersalah bual ia sudah jatuh fitnah. Kalau sudah fitnah, dosa itu macam mana?" katanya.

Siti Sarah mengakui, apa yang berlaku membuatkan dia semakin kenal erti persahabatan.

"Dalam keadaan sekarang terutama apabila perkara ini terjadi, terus terang saya cakap saya tahu siapa yang betul-betul berkawan dengan kita sebab kawan atau dia dekat dengan kita sebab ada kepentingan. Perkara ini Allah tunjuk. 

"Saya sangat bersyukur sebab Allah jadikan perkara ini. Mungkin untuk buat pembersihan juga pada orang sekeliling saya sebelum kita nak pergi lebih jauh," katanya.

Terdahulu, pada 1 Oktober Harian Metro melaporkan pasangan selebriti suami isteri dipanggil SPRM bagi membantu siasatan dipercayai berkaitan kes pengubahan wang haram.

Kemudian, syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music memaklumkan artis mereka, Siti Sarah hanya menemani suaminya hadir ke ibu pejabat SPRM.

Dalam satu kenyataan lain juga, peguam yang mewakili pasangan itu iaitu, Muhammad Fadhli M Sutris menafikan khabar angin anak guamnya itu ditahan reman SPRM.

Disiarkan pada: December 3, 2020 @ 11:38am
d