rap

Rita malu sendiri

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI antarabangsa, Rita Ora memohon maaf secara terbuka apabila melanggar perintah berkurung di England ketika menyambut ulang tahun ke-30, baru-baru ini.

Enggan membiarkan dirinya terus dikecam, Rita mengakui mengadakan perhimpunan kecil iaitu bersama dengan 30 rakannya di sebuah restoran iaitu Casa Cruz London.

Rita membuat permohonan maaf itu di Instagram Story bagi meredakan kemarahan warganet.

"Hai semua, saya menghadiri perhimpunan kecil dengan beberapa rakan untuk meraikan ulang tahun ke-30 saya. Ini adalah suatu keputusan yang salah dibuat apabila kami keluar dari perintah 'lockdown' dan menganggap itu adalah perkara yang tidak serius. Saya memohon maaf kerana melanggar peraturan yang membahayakan orang ramai. Ini adalah kesalahan yang serius yang tidak dapat dimaafkan," katanya.

Menurut Rita, dia mengakui malu dengan diri sendiri apabila tidak peka dengan keadaan yang berlaku.

"Seperti yang ditegaskan untuk akur pada perintah 'lockdown', saya menyedari tindakan saya itu sangat tidak bertanggungjawab. Bagaimanapun, selepas apa yang terjadi saya akan mengambil tanggungjawab ini dengan sepenuhnya.

"Saya malu dengan diri sendiri kerana saya tahu betapa sukarnya orang ramai bekerja keras untuk melawan pandemik Covid-19 ini," tulisnya.

Difahamkan, Rita juga sudah membayar denda yang dikenakan terhadap dirinya atas kesilapan yang dilakukan baru-baru ini.

Sementara itu, ada sumber melaporkan bahawa tindakan akan diambil ke atas pemilik premis, bukan orang yang menganjurkan atau tuan rumah majlis terbabit.

Namun, lebih membuatkan warganet bertambah marah apabila tiada sebarang tindakan diambil terhadap penyanyi itu hingga ada yang membuat andaian kerana dia adalah figura yang terkenal dan kaya.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 6:12am
d