rap

J-Lo dua kali tunda kahwin

Oleh Agensi

Jennifer Lopez terpaksa membatalkan majlis perkahwinannya dengan Alex Rodriquez sebanyak dua kali kerana penularan Covid-19.

Lopez atau dikenali sebagai J-Lo bagaimanapun enggan menjelaskan butiran terperinci mengenai tarikh baharu majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung tahun ini.

"Kami terpaksa membatalkan majlis perkahwinan kerana penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan serta perintah berkurung. Sebenarnya ini adalah pembatalan kali kedua dan tidak diketahui ramai," katanya.

Pada April lalu, J-Lo dan Rodriquez membuat pengumuman rasmi mengenai pembatalan majlis pernikahan mereka ketika menghadiri program bual bicara Ellen DeGeneres Show.

J-Lo enggan mengulas lanjut mengenai pembatalan kali kedua itu, sebaliknya akan mencari tarikh baharu untuk hari bahagianya nanti.

"Lebih baik kami tunggu masa yang sesuai kerana tak mahu terburu-buru. Lagipun kami baik-baik saja. Kami percaya majlis perkahwinan akan diadakan pada waktu yang tepat.

"Saya rasa untuk melakukan majlis secara besar-besaran bukan waktu yang sesuai atau satu keutamaan. Kehidupan bukan hanya mengenai perkahwinan," katanya.

J-Lo dan Rodriquez sudah melangsungkan pertunangan pada Mac tahun lalu. Bagaimanapun pasangan itu memilih untuk merahsiakan butiran majlis perkahwinan mereka.

Disiarkan pada: December 4, 2020 @ 1:33pm
d