rap

'Kena tutup bahagian tu' - Ashira

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Ia terlalu seksi. Jadi, kena tutup," kata penyanyi Ashira Aziz mengenai penambahan bunga di bahagian kangkang seluar dipakainya ketika membuat persembahan di pentas separuh akhir Gegar Vaganza 7 (GV7) semalam yang menjadi bualan hangat netizen kerana dianggap seksi.

Ashira ketika dihubungi berkata, penambahan bunga di bahagian itu dibuat pada saat akhir apabila pihak produksi meminta pereka pakaiannya memperbaiki bahagian itu kerana dianggap terlalu seksi.

"Rekaan pakaian saya semalam diinspirasi daripada pakaian yang pernah digayakan Gwen Stefani ketika menyanyikan lagu Don't Speak. Kalau diikutkan rekaan asal yang dipakai Gwen memang lebih seksi. Jadi, kami tukar sedikit dan menggantikannya dengan seluar panjang.

"Apabila pihak produksi menjalankan pemeriksaan akhir di skrin TV, mereka memaklumkan bahawa rekaan itu perlu diubah sedikit dengan menambah bunga di bahagian itu. Kami pun tak ada bunga yang mencukupi kerana sudah di saat akhir.

"Jadi, pereka Jimmy Couture mengambil bunga daripada beberapa bahagian lain pakaian itu dan menampalnya seperti yang diminta pihak produksi," katanya kepada Harian Metro.

Ashira berkata, dia tidak menyangka perkara itu akan menimbulkan isu dalam kalangan netizen.

"Ketika dimaklumkan bahawa perkara itu tular, saya fikir ada yang membandingkannya dengan pakaian Gwen Stefani. Rupa-rupanya lain pula yang hangat," katanya.

Bagaimanapun, Ashira menghormati pendapat setiap orang yang sememangnya berbeza-beza.

"Setiap orang ada pendapat masing-masing kerana setiap daripada kita ada mata dan pemikiran yang berbeza. Kalau kami tak letak bunga tampal itu, mungkin akan dikecam dengan lebih teruk lagi," katanya.

Semalam, Ashira tampil di pentas separuh akhir GV7 mempersembahkan dua lagu iaitu Peluang Kedua dan Don't Speak.

Namanya turut diumumkan layak mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung Ahad ini.

Disiarkan pada: December 7, 2020 @ 5:31pm
d