rap

Mimi mahu pahat nama

Oleh Norhayati Nordin

SESUNGGUHNYA rezeki, ketentuan Yang Maha Esa. Begitu juga dengan peluang yang dimiliki bakat baharu dikenali Mimi Manan.

Mimi, 20, sebelum ini pernah tidak menjadi 'protege' pilihan Siti Nordiana Alias atau Nana ketika persaingan Mentor 7 pada 2018.

Bagaimanapun, rezeki pemilik nama sebenar Nurshamimi Manan ini untuk Nana menjadi 'mentor' kepadanya tetap termakbul juga.

Bahkan, Mimi kini bergelar penyanyi rakaman di bawah naungan syarikat Siti Nordiana Soul Entertainment dan muncul dengan lagu solo berjudul Bila Berjauhan.

Setahun berlalu, ternyata bukan mudah untuk Mimi memahat nama dan bakat nyanyiannya apabila lagu Bila Berjauhan yang dilancar pada September tahun lalu kurang mendapat perhatian.

Selesa melihat positif, wanita muda ini tetap nekad terus berusaha.

Baginya, tiada kejayaan diperoleh dengan jalan pintas dan usah cepat berasa kecewa.

Apapun pengalaman masuk ke studio rakaman buat kali pertama masih segar di ingatan Mimi. Ditambah, apabila dia berpeluang menyanyikan lagu hasil ciptaan komposer dikenali ramai.

Mengulasnya, Mimi berkata, dia sangat gembira dapat merakamkan lagu Bila Berjauhan ciptaan bersama Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Nana.

"Saya berasa sangat bertuah dapat peluang menyanyikan lagu itu. Apatah lagi, saya pun masih baharu dalam nyanyian dan proses menimba ilmu.

"Ketika merakamkan lagu Bila Berjauhan, pengalaman saya sangat sedikit. Perasaan takut dan gementar dalam hati susah nak kata, bercampur-baur.

"Ingat lagi, ketika masuk ke studio perasaannya amat mendebarkan kerana berfikir saya perlu rakam lagu ciptaan penyanyi dan komposer yang dikenali seperti seperti Aizat, Mel dan Nana sendiri," katanya.

Biarpun risau, Mimi berkata, dia tetap bersyukur kerana dapat merakam lagu Bila Berjauhan itu dengan baik dan segala urusan berjalan lancar.

"Alhamdulillah, Allah bantu," katanya mengaku sangat meminati nyanyian sejak kecil dan akan terus mencuba sehingga berjaya.

Katanya, dia yakin dengan rezeki Allah.

"Tak dinafikan, percubaan pada lagu Bila Berjauhan belum berupaya menyerlahkan bakat nyanyian saya. Tetapi, tak mengapa kerana saya akan terus mencuba," katanya.

Sehingga kini, muzik video rasmi lagu Bila Berjauhan yang dimuat naik di YouTube sudah mencatat lebih 115,000 tontonan dengan lebih 300 komen positif diterima Mimi.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 6:40am
d