rap

Christopher Nolan hentam Warner Bros

Oleh Agensi

Los Angeles: Pengarah berkaliber, Christopher Nolan, 50, menghentam keputusan syarikat produksi Warner Bros untuk menayangkan filem terbitannya menerusi platform HBO Max.

Nolan berkata, keputusan itu seakan menghina kerja keras pembikin filem apabila menayangkannya di platform yang disifatkan cukup teruk itu.

"Segelintir pembikin filem bintang bernama besar tidur pada malam sebelumnya dan berfikir mereka bekerja dengan sebuah studio filem terhebat. Namun, apabila bangun esoknya hanya mendapat tahu mereka sebaliknya bekerja untuk perkhidmatan penstriman yang teruk. Warner Bros tidak faham pun kerugian yang bakal ditanggung.

"Keputusan mereka langsung tidak ada manfaat ekonomi, malah pelabur kasual untuk Wall Street pun boleh bezakan apa itu gangguan dan kegagalan fungsi," katanya.

Walaupun sudah lama bekerja dengan Warner Bros, ternyata Nolan tidak takut bersuara mengenai hal itu.

Baginya, percaturan dibuat syarikat itu amat mengganggunya.

"Saya masih tak percaya terutama bagaimana mereka melaksanakannya. Timbul kontroversi mengenainya namun mereka tidak beritahu sesiapa," katanya.

Warner Bros mula mencetuskan perdebatan ramai selepas mengumumkan filem Wonder Woman 1984 akan ditayangkan serentak di panggung wayang dan HBO Max pada Krismas nanti.

Ia disusuli pula dengan pengumuman tayangan filem lain yang dijadualkan untuk 2021 akan menerima nasib sama.

Nolan cukup dikenali dengan filem-filem arahannya seperti Following, Batman Begins, The Dark Knights, The Prestige, Dunkirk dan Tenet.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 2:37pm
d