rap

'Saya bukan nak duit' – Badul

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak veteran, AR Badul, 71, terkilan dan kecil hati dengan menantunya, Nour Shafinar Harun yang mendakwa dia tamakkan harta Allahyarham anaknya.

Nour Shafinar adalah balu kepada Allahyarham Mejar Mohd Zahir Armaya, 37, yang meninggal dunia dalam insiden tertembak ketika gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 September tahun lalu.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie ketika dihubungi berkata, dia sama sekali tidak pernah terfikir dan berniat mengejar harta anaknya kerana sedar Allahyarham tidak mempunyai banyak harta.

"Saya hanya inginkan penjelasan kenapa tak dapat pencen Allharyaham. Apakah bapa seperti saya yang tidak menjaga anaknya tidak layak dapat? Itu saja yang saya nak tahu pada awalnya. Tak sangka pula sampai melarat macam ini hingga balu arwah mendakwa saya tamakkan harta. Saya tak pernah tanya pun apa-apa berkaitan jumlah pampasan yang diterima, saya hanya nak tahu penjelasan mengenai pencen itu," katanya.

Menurut Badul, sejak anaknya meninggal dunia hingga kini, dia tidak pernah bertanya mengenai wang atau apa saja pampasan kepada menantunya itu kerana mereka tidak lagi pernah berjumpa dan berbincang.

"Ketika saya batalkan niat untuk buat inkues terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kematian anak saya, memang tak pernah tanya pun soal duit atau harta.

 "Kalau betullah saya ini tamak duit atau harta arwah, sudah tentu saya bertanya kepada pihak ATM sejak awal lagi berapa jumlah pampasan yang bakal saya peroleh selepas batalkan inkues itu. Demi Allah, saya tak pernah tanya pun mengenainya.

"Saya seikhlas hati batalkan niat berkaitan inkues itu apabila mendapat jaminan daripada ATM bahawa nasib cucu iaitu Ebal Zulkarnain, 10, Remy Iskandar, 9, termasuk Izzul Zakly akan terjaga dengan baik dan terus terbela hingga mereka dewasa," katanya.

Selain itu, Badul juga menafikan dakwaan dibuat seorang individu terhadapnya di Facebook yang mendakwa dia sudah pun mendapat wang faraid sebanyak RM5,500 untuknya.

"Saya tak ada dapat apa-apa pun duit sampai sekarang. Malah, apa yang saya nak tahu sangat sebenarnya mengenai pencen itu. Kalau tak layak, apa penjelasannya. Saya tegaskan lagi, bukan nak rebut atau tamakkan harta.

"Sejak isu ini timbul, macam-macam orang kecam saya kerana mereka tak tahu cerita dan boleh tulis apa saja serta cakap ikut suka di media sosial. Biarkanlah, kerana cakap memang sedap sebab tak kena pada diri sendiri," katanya.

Allahyarham Mohd Zahir sebelum berkahwin dengan Nour Shafinar dan memiliki seorang anak. Allahyarham juga pernah berkahwin dengan Jamilah Ismail yang kini menetap di Pekan, Pahang, bersama dua anak lelaki mereka.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 3:28pm