rap

"Kalau keluarga pun terguris, saya kena 'memberontak'lah! – Noraniza Idris

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris mengakui mula 'memberontak' apabila kritikan 'pedas' pengarah dan pelakon, Michael Ang terhadap persembahannya di pentas separuh akhir Gegar Vaganza 7 (GV7), kelmarin turut memberi kesan kepada emosi keluarganya.

Noraniza ketika dihubungi berkata, pada awalnya dia tidak mahu bersuara, namun apabila kritikan itu mula mengguris hati keluarga, dia mengambil keputusan untuk bertindak.

"Saya masih waras dan jarang melenting kalau benda yang menjadi isu, tidak berasas. Selama ini saya tidak bersuara, tapi selepas persembahan di pentas separuh akhir GV7 kelmarin, keluarga saya menghubungi saya dan ada yang menangis kerana terbaca kritikan Michael Ang. Jadi, apabila sudah mengguris hati keluarga, saya perlu bersuara dan kalau boleh saya nak bersua muka dengannya," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Michael menerusi Twitter menghentam persembahan Noraniza dengan mendakwa suara penyanyi itu sengau ketika membawakan lagu Hindi di pentas separuh akhir GV7, kelmarin.

Noraniza berkata, dia juga ingin bertanya dan menimba ilmu daripada Michael Ang bagaimana untuk menaikkan Irama Malaysia di mata dunia.

"Matlamat saya apabila menyertai GV7 adalah untuk menaikkan semula Irama Malaysia dan membawanya ke pentas komersial. Tapi, dia nampaknya seperti nak saya jatuh. Jadi, saya nak berjumpa dengannya dan bertanya kalau-kalau dia ada idea terbaik untuk menaikkan Irama Malaysia. Mungkin dia ada idea bernas serta tips," katanya.

Ditanya sama ada dia adalah artis yang tidak boleh menerima kritikan, Noraniza menafikannya.

"Saya sentiasa menerima kritikan secara terbuka. Contohnya, setiap kali menerima jumlah markah daripada juri, saya akan berjumpa semula dengan juri dan bertanya apa kekurangan saya untuk saya perbaiki.

"Tapi, Michael ini adalah orang yang menulis kritikan dengan menggunakan perkataan yang tidak sesuai. Dia sebagai orang yang berpengaruh rasanya boleh menulis komen secara lebih berhemah. Komen-komennya umpama membuka ruang buat netizen lain untuk mengecam dan menjatuhkan orang," katanya.

Diminta mengulas mengenai perkataan 'mualaf' yang digunakannya dalam satu status di akaun Facebook miliknya, Noraniza menjelaskan maksud perkataan itu ialah orang dari agama lain yang memeluk Islam dan dia tidak ada niat mempertikaikan keislaman Michael. 

Noraniza juga sudah mendapatkan persetujuan daripada pihak pengurusannya untuk mengatur pertemuannya dengan Michael, namun masih belum ada sebarang jawapan.

Noraniza turut layak ke pentas akhir GV7 yang akan berlangsung Ahad ini.

Disiarkan pada: December 8, 2020 @ 4:09pm
d