rap

Percubaan buah hasil

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SIAPA sangka, percubaan pertama Cik B, 15, yang juga anak usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida menjadi penyanyi membuahkan hasil apabila video klip single genre rap, Tolonglah menjadi sohor kini di YouTube.

Cik B atau nama sebenarnya Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin berkata, dia seperti tidak percaya dan sangat bersyukur apabila lagu Tolonglah itu menjadi 'trending'.

"Memang saya sangat terkejut, tapi berbeza pula dengan mama (Vida) sebab dia sentiasa percaya saya mampu untuk berjaya sama seperti orang lain," katanya.

Berkongsi mengenai lagu Tolonglah yang juga ciptaannya dengan Vida itu, Cik B berkata, ia mengisahkan mengenai pengalaman dirinya.

"Jalan ceritanya adalah mengenai kisah silam saya di mana saya datang daripada keluarga yang berpecah belah. Saya sukakan lagu yang berkonsepkan kisah sedih dan menyentuh hati ini kerana ia seperti dekat dengan diri saya," katanya.

Menurutnya, lagu ciptaan sendiri juga lebih mudah untuk dijiwai.

"Sejujurnya apabila menyanyikan lagu yang kita hasilkan sendiri, ia lebih mudah sebab kita faham perasaan dan penjiwaan untuk lagu itu," katanya.

Selain itu, Cik B juga mengejutkan ramai peminat apabila dia mampu berlakon dengan baik selepas muncul dalam drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta.

"Saya sendiri pun tak sangka ramai yang menonton drama itu kerana nak tengok lakonan saya. Risau juga sebab saya masih kaku, malu-malu dan sebutan saya pun ada kalanya kurang jelas," katanya.

Menjadi artis membuatkan Cik B tidak terlepas daripada menerima kecaman netizen. Namun, dia sentiasa bersiap sedia dan sudah terbiasa.

"Saya pun dah terbiasa dengan kecaman netizen. Jadi, pada saya itu tak menjadi masalah. Dah tak ada rasa apa-apa dah. Mama pun selalu berpesan kepada saya, apabila dah melangkah masuk dalam industri hiburan, hati kena kuat dan tak boleh cepat koyak," katanya.

Apa yang pasti, Cik B tidak akan berhenti dengan satu drama dan satu lagu sahaja, sebaliknya akan terus melangkah dengan

lebih jauh sebagai anak seni.

Disiarkan pada: December 9, 2020 @ 6:30am
d