rap

IG Linda kena godam

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI, Linda Nanuwil, 36, sedih apabila akaun Instagram (IG) miliknya digodam.

Lebih mengecewakan kerana dia masih dalam proses bertapak kembali dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, Linda yang terpaksa membuat akaun baharu akur dengan ujian itu dan tidak putus asa untuk meraih pengikutnya semula.

"Pada 6 Disember lalu sekitar 1.30 pagi, pengendali kelab peminat saya memaklumkan akaun Instagram saya digodam. Saya dimaklumkan ketika baharu tamat raptai penuh Gegar Vaganza.

"Saya cuba memasukkan kata kunci, tapi tak dapat. Semua gambar dan pengikut hilang, manakala nama akaun itu juga langsung tak dapat dikesan.

"Perasaan masa dapat tahu memang panik sebab Instagram platform penting untuk saya berinteraksi dengan peminat dan berkongsi perkembangan semasa. Semestinya saya sedih dan terkejut," katanya.

Linda kini kembali dengan akaun baharu menggunakan nama @linda.nanuwil dan sangat berterima kasih terhadap sokongan daripada peminat yang setia menyokong kariernya.

"Saya ada membuat laporan kepada pihak Instagram. Saya cukup terharu apabila peminat juga berusaha membantu dalam proses melaporkan perkara itu," katanya.

Selepas sekian lama, penyanyi Jika Kau Kekasih itu muncul kembali memeriahkan industri hiburan sejak Ogos 2018.

Dia juga bakal berentap dalam pentas akhir Gegar Vaganza 7, Ahad ini.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 6:11am
d