rap

Seniman mahu Namewee dikenakan tindakan undang-undang

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), membuat laporan polis terhadap penyanyi rap yang juga pengarah filem Babi, Wee Meng Chee atau Namewee berikutan didakwa memalsukan dokumen permit Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, pihaknya turut menggesa pihak berkuasa menahan dan mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee yang menerbitkan filem berunsurkan perkauman berjudul Babi.

"Saya mewakili pihak Seniman membuat laporan polis terhadap Namewee atas beberapa faktor. Pertama sekali adalah pemalsuan dokumen oleh syarikat yang menerbitkan filem Babi. Ketika Namewee membuat permohonan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), dia menggunakan Sekolah sebagai judul filemnya, tapi kemudian menukar kepada Babi. Sekiranya dia mahu menukar, dia perlu melalui permohonan sekali lagi tapi dia tidak berbuat demikian. Perkara itu juga sedang disiasat oleh Finas. 

"Selain itu, pihak Seniman juga memohon pihak berkuasa untuk menahan dan menyiasat Namewee disebabkan tingkah lakunya menerbitkan filem-filem yang berunsurkan perkauman termasuk filem terbaharunya, Babi yang memaparkan jalan cerita yang kononnya Malaysia mempunyai masalah atau krisis kaum," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, di sini, hari ini. 

Menurut Hafiz, pihaknya turut kesal apabila Babi sudah ditayangkan di luar negara sekali gus mencalarkan imej serta maruah negara.

"Setahu saya ia sudah ditayangkan di Taiwan dan secara tidak langsung boleh memburukkan imej negara kita sedangkan kita semua hidup dalam keadaan aman dan damai," katanya.

Dalam masa sama, Seniman turut menggesa Jabatan Imigresen untuk mengambil tindakan sewajarnya serta menyeru pihak Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk menyekat saluran YouTube Namewee dan sebarang jenis video atau apa saja bahan yang berkaitan dengan filemnya. 

"Perkara ini perlu dibendung sebelum ia ditayangkan lebih meluas di luar negara, jadi SKMM perlu menyekat secara keseluruhan akaun media sosial Namewee dan kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia melalui Facebook, YouTube dan Instagram miliknya," katanya.

Filem Babi yang ditayangkan di Taiwan pada 20 November berkisarkan kejadian sebenar keganasan dan rusuhan kaum yang berlaku di sebuah sekolah menengah terletak di selatan Malaysia pada 2000.

Filem terbabit turut tercalon dalam empat festival filem antarabangsa iaitu Open World Toronto Film Festival, Around International Film Festival Berlin, International Thai Film Festival 2020 dan Taipei Golden Horse Film Festival.

Disiarkan pada: December 11, 2020 @ 4:47pm
d