rap

Faye Kusairi tabah alami Bell Palsy

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur : "Sentiasa positif dan jangan malu. Sakit itu adalah satu anugerah daripada Allah SWT," kata pelakon Faye Kusairi yang mengalami masalah Bell Palsy hingga menyebabkan sebahagian wajahnya lumpuh.

Faye berkata, keadaan kesihatannya semakin baik selepas menjalani beberapa sesi rawatan dan berharap peminat tidak berasa bimbang dengan keadaan dirinya.

"Saya tahu ramai yang risaukan saya sebab muka saya senget. Jangan risau sebab saya okay. Ini adalah sebahagian daripada pengalaman dalam hidup dan perlu terima dengan hati yang terbuka.

"Saya tak murung. Saya tak sedih malah bersyukur diberi rezeki ini untuk sentiasa tahu yang Allah SWT sayangkan sebab itu dia bagi saya pengalaman ini untuk sentiasa muhasabah diri. Alhamdulillah doktor memaklumkan keadaan diri saya semakin baik. Penyakit yang dihidapi ini bukan kekal, sebaliknya akan sembuh dalam tempoh kurang dua minggu. Namun, ada juga yang setahun masih lagi perlu menjalani rawatan. Apapun jangan risau kerana ia akan sembuh jika kita sentiasa usaha," katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Semalam, Faye dikejarkan ke hospital selepas mendapat serangan Bell Palsy iaitu kelumpuhan otot muka.

Faye yang kini berdepan kesukaran untuk minum air secara normal memohon maaf kerana tidak dapat membalas mesej yang dihantar rakan-rakan dan peminat kerana perlu berehat berikutan keadaannya kini yang sarat mengandung.

"Saya nak minta maaf kepada semua yang hantar mesej peribadi (DM), komen di Instagram dan mana-mana media sosial yang mengulang perkongsian saya mengenai keadaan sebelum ini.

"Saya belum sempat nak balas satu-satu sebab memang banyak dan saya sedang berehat menunggu hari untuk bersalin. Harap semua faham dan saya nak anda semua tahu yang saya dah baca DM anda termasuklah perkongsian anda menghadapi Bell Palsy ini," katanya.

Disiarkan pada: December 12, 2020 @ 3:54pm
d