rap

'Bukan lagu Sakit tak bagus, tapi...' - Azmeer

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Ketua Juri Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35, Azmeer tidak bermaksud mengatakan lagu Sakit nyanyian Yonnyboii dan Zynakal bukan lagu untuk pertandingan hingga tidak layak untuk bertanding di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), Februari tahun depan.

Kenyataan Azmeer itu mengundang kontroversi dan kritikan penggiat seni antaranya penyanyi berkaliber, Datuk Hattan yang lantang mengkritik keputusan juri. 

"Apabila saya kata lagu itu bukan lagu pertandingan, saya tersilap kerana tak habiskan ayat. Ia sebuah lagu yang baik dan saya tetap menyukainya, cuma ia tak boleh menyaingi markah dalam konsep pertandingan AJL atas sebab melodi yang berulang-ulang. Dari sudut markah kreativiti, dia kalah. Bukan tak bagus, ada markah tapi kalah," katanya kepada Harian Metro.

Azmeer atau nama sebenarnya Mohd Azhar Abu Bakar berkata, dia terbuka menerima pandangan Hattan.

"Sakit mengulangi melodi yang sama dan keseluruhannya tidak kreatif. Saya lihat pada kreativiti lagu Sakit dan lagu Apa Khabar nyanyian SonaOne. Kita lihat rap, mesej, kreativiti serta muzik Apa Khabar. Saya bagi markah Apa Khabar dan Sakit contohnya, kita akan nampak perbezaannya. Kalau sedap, kedua-duanya sedap dan dua-dua popular," katanya.

Menurutnya, Hattan harus tahu AJL lebih kepada ketelitian berbanding anugerah lain.

"Kenyataan Hattan tidak salah dan saya terima sebagai pandangan yang baik. Mungkin saya boleh cadangkan tahun depan dibuat satu Anugerah Lagu Paling Popular. Namun mungkin TV3 tak nak kerana ia menyamai konsep ABPBH (Anugerah Bintang Popular BH). Tapi kita boleh cadangkan anugerah itu dari sudut penjurian," katanya. 

Azmeer yang kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) Muzik di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, dia boleh menerima setiap komen yang dilemparkan.

"Tapi jangan komen seolah-olah kami bodoh dan tak tahu muzik. Dalam kalangan kami ada Datuk Mokhzani Ismail yang sudah lama memimpin Orkestra RTM. Barisan juri lain seperti Fauzi Marzuki, Helen Yap, Edrie Hashim dan AG Coco juga ada pengalaman masing-masing dalam menilai sesebuah karya. 

"Kami hanya jalankan tugas masing-masing mengikut tanggungjawab yang diberikan. Walaupun tiada rapper dalam kalangan kami, kita dapat tengok ada tiga lagu rap yang layak ke AJL35," katanya.

Azmeer berkata, dia sebenarnya menolak sebagai ketua juri, tetapi TV3 tetap mahukannya menduduki kerusi panas itu. 

"Mereka kata saya layak kerana tegas dari segi penjurian. Saya hanya buat kerja saya dan kalau orang tak suka nak buat macamana. Ini rezeki saya," katanya. 

Azmeer meminta peminat melihat perbandingan pelakon yang menang gelaran Pelakon Terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) dan juga seorang pelakon yang menang ABPBH.

"FFM lebih teliti dari sudut analisa lakonan, mood dan sebagainya, manakala ABPBH pilih yang popular. Bukannya mereka tak bagus, tapi mereka bagus dan popular. Pemenang kedua-dua anugerah ini dipilih berdasarkan kriteria masing-masing. Bukan hanya kerana lagu itu sedap," katanya.

Menurutnya, dia mengidamkan lagu-lagu seperti Isabella, Sekadar Di Pinggiran dan Menaruh Harapan tetapi ia susah didapati sekarang. AJL lain dari segi penjurian, rubrik pemarkahan, lirik, kreativiti, susunan muzik, keaslian dan sebagainya. Ini adalah konsep AJL dan konsep penjurian yang perlu diambil kira," katanya.

Disiarkan pada: December 17, 2020 @ 2:54pm
d