rap

Hari pertama dah 'trending'

Oleh Najiy Jefri

DRAMA bersiri Bidadari Salju terbitan A Aida Production menerima sambutan luar biasa pada hari pertama tayangannya di slot Akasia TV3 pada Selasa (15 Disember) lalu.

Penerbitnya, Datuk A Aida berkata, dia teruja apabila penonton memberikan maklum balas yang positif di Twitter sehingga menjadi 'trending'.

"Ini adalah permulaan yang cukup baik untuk drama Bidadari Salju. Tak sangka hari pertama tayangan sudah menduduki carta 'trending' serta hari berikutnya. Malah, rata-rata penonton menyukai dengan pengenalan episod pertama. Saya harus berikan kredit kepada seluruh pelakon dan kru produksi kerana bekerja keras untuk drama ini.

"Saya akui berhabis hampir RM1 juta untuk menyiapkan drama ini. Penggambaran bukan hanya dibuat di Kuala Lumpur saja tetapi juga di D'Manggis Janda Baik, Pahang," katanya.

Menurut A Aida, penggambaran drama itu baharu saja selesai Rabu lalu dan kini penyunting sedang bertungkus-lumus menyiapkan setiap episod.

"Saya gunakan lapan penyunting untuk drama ini. Mereka sedang berusaha keras menyunting dan menyiapkan setiap episod. Untuk skrip montaj saya yang buat sendiri dan sunting di studio kerana nak hasil yang terbaik," katanya.

Menurut A Aida, bagi menambah warna dalam drama bersiri arahan Reza Badarudin itu, dia turut bekerjasama dengan komposer muda Haqiem Rusli untuk lagu runut bunyi drama terbabit.

"Saya sangat optimis untuk setiap karya yang ingin saya terbitkan. Walaupun terpaksa keluar duit lebih, saya sanggup kerana nak hasil yang terbaik. Kali ini saya bekerjasama dengan Haqiem menerusi lagu Mimpi. Lagu ini dicipta dan ditulis oleh kami berdua. Saya mahu drama ini mencipta fenomena yang tersendiri dan diterima ramai. Harapnya ramai yang akan menyukai jalan ceritanya," katanya.

Bidadari Salju yang dibintangi Adam Lee, Sweet Qismina, Chacha Maembong, Syazuwan Hassan dan Zaki Azeman mengisahkan Karya yang sering menjadi mangsa buli dan selalu dihina di sekolah kerana wajahnya tidak cantik dan selekeh.

Pelajar senior, Hariz mencari pasal dengannya hampir setiap hari. Hariz terlalu membenci gadis ini hingga dia tergamak melemparkan fitnah yang meragut maruah dan harga diri gadis ini sehingga dipulaukan bapa sendiri dan orang kampung.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 6:30am
d