rap

MRS tak perlu buat petisyen

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

HASRAT komposer Asmin Mudin selaku Pengerusi Music Rights Sabah (MRS) untuk membuat kutipan royalti dalam kalangan pengguna hak cipta di negeri Sabah sepertimana yang dijalankan oleh badan pelesenan sedia ada seperti Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik (MACP), Recording Performers Malaysia (RPM) dan Public Performance Malaysia (PPM) mendapat reaksi segera daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Pengerusinya, Datuk Mohamad Alamin berkata, pihaknya merasa terpanggil untuk memberikan pandangan berkaitan perkara terbabit.

"MyIPO selaku Pengawal Hak Cipta dan pentadbir bagi hak cipta di Malaysia memantau aktiviti industri badan-badan pelesenan ini dan mengambil kira implikasi bagi perisytiharan suatu badan pelesenan baharu.

"Bagaimanapun, pemantauan oleh MyIPO ini bukanlah bermaksud pembabitan dalam aspek hal-hal pengurusan dalaman badan-badan pelesenan dan bukanlah menjadi tanggungjawab MyIPO untuk memastikan badan- badan pelesenan untuk mencapai konsensus memandangkan kami adalah pihak yang berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Suatu badan pelesenan kutipan royalti mempunyai tanggungjawab serta amanah yang besar apabila diberikan mandat oleh pemilik-pemilik hak cipta," katanya dalam kenyataan kepada Harian Metro.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran di pasaran bagi pengguna-pengguna hak cipta dan keharmonian aktiviti kutipan royalti di Malaysia, pihak MyIPO mengeluarkan garis panduan pematuhan bagi suatu persatuan atau pertubuhan yang berhasrat untuk beroperasi sebagai suatu badan pelesenan bagi pemunya hak cipta atau golongan pemunya hak cipta tertentu.

"Garis panduan bagi permohonan perisytiharan ini adalah berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan libat urus pentadbiran yang baik. MyIPO sudah menerima permohonan daripada pihak MRS untuk menubuhkan badan pelesenan bagi kutipan royalti pemilik hak cipta di wilayah Sabah dan Labuan.

"MyIPO juga sudah meneliti permohonan terbabit dan sudah memohon pihak MRS untuk mengemukakan beberapa pematuhan dan penetapan, di mana pihak MRS memberi komitmen untuk memberikan maklum balas pada penghujung tahun ini," katanya.

Mohamad berkata, tiada keperluan untuk pihak MRS melaksanakan petisyen menuntut untuk mentadbir urus sendiri badan pelesenan seperti yang dinyatakan Asmin.

"Apa yang penting dalam isu ini adalah untuk memastikan tiada isu yang berulang bagi dua badan pelesenan bagi karya hak cipta yang sama seperti mana kemelut agihan royalti antara PRISM dan RPM.

"Juga, ia adalah untuk memastikan bahawa pengguna-pengguna muzik di wilayah Sabah dan Labuan tidak dibebani dengan invois yang berlebihan daripada badan-badan pelesenan. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab MRS untuk memastikan pembabitan MRS sekiranya diberikan deklarasi sebagai badan pelesenan baharu di industri ini tidak akan menimbulkan pertindanan tugas antara badan-badan pelesenan sedia ada atau kepincangan dalam aktiviti kutipan royalti di Malaysia," katanya.

Isu ini timbul apabila Asmin mendakwa penggiat seni di Sabah, Sarawak dan Labuan tidak mengenali RPM, MACP, PPM, RPM, PRISM dan MRM di Semenanjung.

Dia juga mempertikaikan badan-badan pelesenan yang wujud sejak 1988 ini langsung tidak memperuntukkan satu kerusi Ahli Lembaga Pengarah untuk Sabah dan Sarawak.

Asmin meluahkan perasaan mereka yang seolah-olah dianaktirikan oleh pihak yang sepatutnya menjaga kebajikan dan hak mereka sebagai pengkarya.

Disiarkan pada: December 19, 2020 @ 6:46am
d