rap

Sumbangan wanita besi

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PERJALANAN yang indah hampir 38 tahun sebagai penjawat awam, khususnya selaku Pentadbir Seni Budaya adalah pengalaman bekerja yang kekal terpahat di hati bekas Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli yang mengakhiri tugasnya pada 6 Disember lalu.

Sejak diberi kepercayaan memegang jawatan terbabit pada 19 Mei 2005, Norliza, 60, membawa JKKN ke tahap cemerlang dan membanggakan negara.

Norliza amat sinonim dengan gelaran 'wanita besi', namun mempunyai sifat keibuan khususnya kepada penggiat seni tanah air, untuk membantu memartabatkan seni budaya di Malaysia.

Berbekalkan sokongan daripada 350 rakan sekerja di seluruh negara, Norliza berjaya menjadi nakhoda agensi kerajaan yang mengemudi dan mengangkat seni budaya ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Kewujudannya sebagai pentadbir seni bukan sahaja boleh dirasai oleh masyarakat di bandar, malah mereka yang tinggal di kampung juga menikmati pelbagai inisiatif program seni budaya anjuran JKKN.

Semangatnya dan rakan-rakan yang tidak jemu meniupkan obor perjuangan seni dan budaya selama ini, akhirnya membuka mata masyarakat untuk menghargai perjuangan serta pengorbanan Norliza.

Beliau memartabatkan seni budaya ke seluruh negara melalui kewujudan cawangan JKKN di setiap negeri.

JKKN yang dahulunya hanya sebuah bahagian kecil, kemudian dinaik taraf pada 2004 menjadi sebuah jabatan besar hasil usaha dan prestasi Norliza dan Menteri ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim. Apapun, yang pasti Norliza adalah Ketua Pengarah pertama.

Akuinya, beliau seorang yang cukup berpegang teguh kepada tiga prinsip utama ketika bekerja.

"Saya berkhidmat dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh tanpa mengharapkan sesuatu sebagai balasan, kerana rezeki adalah ketentuan Allah SWT.

"Saya mempunyai keyakinan tinggi (berlandaskan ilmu dan pengalaman) untuk membawa JKKN bersama melangkah maju ke hadapan.

"Saya berusaha untuk melaksanakan yang terbaik dalam apa juga tugasan dan tidak mudah mengaku kalah atau kecewa," katanya.

Menurutnya, JKKN kuat kerana mempunyai pasukan warga kerja yang sangat cemerlang dan berdedikasi.

"Kami juga bekerjasama baik dengan pengamal media yang menjadi tunjang komunikasi antara JKKN dan masyarakat.

"Tidak terkecuali, kami mendapat sokongan padu daripada pihak tertentu, syarikat produksi dan penggiat seni tanah air yang menjadi kekuatan serta inspirasi JKKN untuk terus mara ke hadapan

"Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua. Saya juga memohon ampun dan maaf di atas segala kekhilafan, seandainya ada tersalah kata hingga terusik jiwa," katanya.

Norliza, pemegang Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Malaya pada 1983, mendapat biasiswa kerajaan untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam Pengurusan dan Pemasaran Seni pada 1993, di Carnegie Mellon University, yang juga sebuah universiti tersohor di Amerika Syarikat.

Antara sifat yang menjadikan beliau begitu disegani ialah disiplin diri yang menepati waktu dan menjadi rutinnya berada di pejabat seawal jam 7.30 pagi setiap hari bekerja dan jarang sekali mengambil cuti rehat.

"Saya sering menasang tekad sentiasa melaksanakan yang terbaik dan berusaha mencapai kecemerlangan hingga ke saat yang terakhir.

"Jangan mudah untuk puas dengan kerja biasa-biasa dan buatlah kerja yang luar biasa supaya setiap yang dilakukan oleh JKKN dapat dimanfaatkan secara maksima oleh khalayak," katanya yang pernah menerajui Istana Budaya (IB) di awal penubuhann.

Beliau juga memainkan peranan utama dalam penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang kini dikenali sebagai Akademi Seni, Budaya dan Warisan (ASWARA).

Tidak ketinggalan, Norliza juga bertanggungjawab memulakan program PERMATA Seni iaitu sebuah program untuk anak-anak tempatan yang mempunyai bakat cemerlang dalam bidang seni.

Sekalipun sudah bersara, beliau akan meneruskan beberapa tanggungjawabnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah ASWARA, Pemegang Amanah Yayasan Tenun DiRaja Pahang, Felo Kehormat, Tun Muhammad Ghazali Shafie Institute for Strategic Leadership, Universiti Kolej Yayasan Pahang (UKYP) serta Penasihat Program Genius Seni, JKKN.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 6:30am
d