rap

'Saya nak sangat berlakon, tapi tak nak pegang-pegang' - Haqiem Rusli

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Komposer dan penyanyi Haqiem Rusli, 22, menyatakan hasrat teringin berlakon filem, namun tidak akan sesekali melakukan babak bersentuhan dengan pelakon wanita yang berganding dengannya.

Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli berkata, dia sedia untuk mempertahankan prinsipnya itu jika berdepan dengan situasi sebegitu apabila sudah terbabit dalam lakonan kelak.

"Selain menyanyi, saya sebenarnya teringin nak berlakon filem. Cuma, belum diberikan lagi peluang itu. Keinginan (berlakon) ini tercetus selepas berborak dengan Datuk Rosyam Nor selepas persembahan kami di Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang lalu.

"Mendengar sendiri pengalaman beliau, membuatkan saya mahu berlakon pula. Saya mahu tunjukkan sisi berbeza diri yang bukan sekadar seorang penyanyi sahaja.

"Bagaimanapun, sekiranya membabitkan babak seperti berpegangan tangan dengan pelakon wanita, saya takkan buat. Saya akan berjuang untuk perkara itu disebabkan mahu mengekalkan prinsip diri saya," katanya.

Penyanyi lagu Lembah Kesepian itu mendedahkan dia juga ada menghubungi pengarah Syamsul Yusof berkenaan peluang untuk berlakon, baru-baru ini.

"Seperti baru-baru ini, saya ada hubungi Syamsul untuk menawarkan diri berlakon dalam nada bergurau. Mana tahu, hajat saya kesampaian. Syamsul pun kata nak bagi peluang, tapi tak pastilah jika dia sebenarnya serius. Namun, saya memang nak.

"Saya pilih Syamsul kerana memang suka dengan filem-filemnya dan berhasrat juga nak bekerja dengan dia. Bagi saya, dia sangat santai dan senang berborak berbanding takut pula jika berbual dengan pengarah lain yang lebih senior," katanya.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 3:50pm
d