rap

'Menghormati jemputan rakan' – Awal Ashaari

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Lara bersekolah di sekolah antarabangsa dan ramai kawan dia dalam kalangan bukan Islam dan menyambut Krismas."

Itu jawapan pengacara terkenal, Awal Ashaari berhubung hantaran gambar dia bersama isteri dan anaknya meraikan Hari Krismas, baru-baru ini.

Awal menjelaskan, kehadirannya bersama isteri, Scha Alhahya dan anak mereka, Lara Alana bagi memenuhi jemputan rakan.

"Sebagai rakan, apabila mereka meraikan, mesti akan dijemput dan kita juga ingin menziarahi. Tuan rumah beri 'dress code', kita ikut untuk hormati permintaan mereka. Sama seperti Aidilfitri, kawan-kawan Cina, India dan Kristian akan datang beraya ke rumah kita memakai baju Melayu, baju kebaya dan ada memakai jubah. Mereka juga akan menjamu selera makan ketupat rendang yang mak kita masak.

"Mereka pun hormat agama kita. Mereka selalunya beli makanan di restoran yang halal. Jadi, kita rasa selesa. Mereka juga tak minum arak depan kita sebab hormat," katanya.

Menurut Awal, gambar yang dimuat naik pula berlatarbelakangkan tempat yang sesuai dengan sambutan perayaan itu.

"Apabila nak bergambar, mereka akan cari 'spot' yang cantik. Contohnya di dinding yang kita gantung kad raya, ketupat plastik dan lampu kelip kelip yang dibeli di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Mereka muat naik di Instagram untuk ucap dan cakap terima kasih sebab jemput mereka datang.

"Apabila pulang, mereka masih lagi dalam agama asal mereka, Buddha, Hindu atau pun Kristian. Mereka tidak automatik jadi Islam. Cuba 'reverse' situasi itu dan anda akan dapat jawapan," katanya.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 5:08pm
d