rap

Biografi legenda

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PROGRAM Yang Dulu adalah rancangan temu bual eksklusif berkonsepkan dokumentari terbitan Astro Prima yang menyingkap kisah biografi barisan artis veteran tanah air.

Bakal dikemudikan pengacara, Datuk Aznil Nawawi atau lebih dikenali sebagai Pak Nil program itu bakal menampilkan 25 artis veteran yang pernah mengecapi kegemilangan populariti dan menjadi kegilaan ramai suatu ketika dahulu.

Antara nama besar yang menjayakan musim pertama itu termasuk Datuk M Daud Kilau, Datuk David Arumugam, Datuk Rosnani Jamil, Datuk Jeffrydin, Datuk Ahmad Nawab, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Malek Noor, Mamat Khalid, Bob Lokman, Man Keedal, AR Badul, Herman Tino, Ja'afar Onn, Ruminah Sidek, Uji Rashid, Salamiah Hassan, Norlia Ghani dan Fauziah Nawi.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh berkata, program itu sesuatu yang istimewa kerana setiap tetamu undangan yang menjayakan program itu dipilih berdasarkan reputasi dalam bidang seni.

"Sebagai pembuka tirai 2021, pihak Astro Prima dengan berbesar hati membawakan sebuah lagi program terbaharu yang mengangkat artis legenda tanah air menerusi siri dokumentari hiburan Yang Dulu khusus untuk tontonan sekeluarga.

"Perkongsian program itu cukup unik dan istimewa kerana setiap tetamu undangan yang menjayakan program itu dipilih berdasarkan reputasi portfolio mereka sebagai anak seni serta latar belakang kehidupan yang penuh warna-warni.

"Manakala pemilihan Pak Nil sebagai hos pula adalah berdasarkan kredibiliti beliau dalam bidang pengacaraan yang tidak perlu disangkal lagi. Melihatkan kepada pengalaman dan kekuatan Pak Nil, kami percaya dia mampu mengemudikan program ini dengan sentuhan magisnya yang tersendiri untuk memikat hati penonton supaya terus melekat di kaca televisyen,

" katanya.

Pak Nil juga memainkan peranan utama selaku penerbit eksekutif untuk program Yang Dulu. Bagi memenuhi misi itu, Pak Nil turut membuat kajian yang mendalam terlebih dahulu mengenai semua 25 artis yang terbabit.

Rakaman program itu padat dengan pelbagai kisah suka duka eksklusif serta perkongsian emosi dan pengalaman peribadi yang tidak pernah dikongsikan kepada masyarakat umum secara terbuka sebelum ini.

Secara keseluruhan, tempoh rakaman untuk setiap episod mengambil masa hampir tiga jam untuk diselesaikan. Malah, penggambaraan musim pertama program ini juga belum selesai dan masih dijalankan sehingga kini.

Program berdurasi 30 minit itu memaparkan 25 episod secara eksklusif pada setiap hari Jumaat, jam 7.00 malam mulai semalam di saluran Astro Prima (125) dan Astro Prima HD (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan 'on demand' untuk pilihan yang

lebih fleksibel.

Disiarkan pada: January 2, 2021 @ 6:30am
d