rap

Gambaran rasa kasih

Oleh Syafil Syazwan Jefri

MELIHATKAN paduan suara kedua-dua penyanyi berbakat besar, Evie dan Kael dalam program Lagu Cinta Kita 2 (LCK2) umpama menggambarkan wujud rasa cinta antara satu sama lain.

Tentunya, setiap lagu yang disampaikan sepanjang beberapa minggu berentap dalam program itu, penonton dapat merasakan ada jiwa yang tersembunyi dalam hati mereka.

Saat ditanya dengan persoalan mengenai hubungan cinta antara pasangan duet itu, Evie dan Kael kadangkala terlihat seperti berselindung, namun pada masa sama seperti meronta-ronta untuk berkongsi perasaan sebenar mereka.

"Kami memang saling mengenali antara satu sama lain dalam industri. Kali pertama kami berjumpa dalam program ini, timbul rasa janggal juga, tapi bila dah meluangkan masa bersama, kami lebih kenal antara satu sama lain," kata Evie.

Bagi Kael, dia tidak menafikan muncul bibit perasaan kasih sayang terhadap Evie.

"Kami berdua sudah lama juga tidak ada pasangan. Jadi, saya tak nafikan, dalam tempoh krisis pandemik ini, kami banyak luangkan masa bersama untuk bekerja sebagai peserta dalam program ini.

"Apabila banyak luangkan masa bersama, muncul perasaan yang erat antara kami dan ia istimewa," katanya.

Bagaimanapun, Kael berkata, dia tidak mahu terlalu terbawa-bawa dengan perasaan kerana karier masih menjadi keutamaannya.

"Ketika membuat persembahan, kami tak dapat nak wujudkan 'jiwa' yang dibuat-buat. Semuanya adalah benar.

"Namun, karier sentiasa menjadi keutamaan dan saya tak mahu terlalu terbawa-bawa dengan perasaan. Apa yang pasti, biar masa yang menentukan sejauh mana perasaan ini dapat pergi," katanya.

Selesai dengan LCK2, kedua-dua mereka ingin mengorak langkah dalam bidang seni, sekali gus menambah pengalaman mereka yang sedia ada dengan ilmu baharu untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam industri muzik tanah air.

Disiarkan pada: January 4, 2021 @ 6:25am
d